KUALA LUMPUR: Sindiket luar negara dipercayai turut terlibat dalam kegiatan mensabotaj Sistem Imigresen Malaysia (myIMMs), kata Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Nur Jazlan Mohamed. Tanpa mengulas lanjut perkara berkenaan, beliau berkata buat masa ini, siasatan berhubung perkara itu sedang dilakukan oleh pihak polis. "Kami percaya selain orang tempatan memang ada sindiket luar negara yang terlibat dalam aktiviti ini. "Siasatan lanjut sedang dijalankan dan kami tidak akan berkompromi dengan mereka yang terlibat mensabotaj sistem ini," katanya. Selain itu, Nur Jazlan berkata mana-mana pegawai dan anggota Imigresen yang disyaki terlibat mensabotaj myIMMs akan dikenakan tindakan disiplin termasuk dibuang kerja. "Mana-mana (pegawai) yang terbukti terlibat secara langsung dan melanggar undang-undang akan didakwa serta dihadapkan ke mahkamah. "Kita (Kementerian Dalam Negeri) berhasrat untuk melumpuhkan aktiviti sindiket dan salah laku pegawai Imigresen di semua peringkat untuk jangka masa panjang bagi mengelakkan salah guna kuasa pegawai Imigresen berulang," katanya. Pada 9 Jun, Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar dilaporkan berkata lima pegawai Imigresen ditahan bagi membantu siasatan dan operasi untuk mengesan mereka yang terlibat dalam kegiatan mensabotaj sistem myIMMs akan diteruskan. Pada 31 Mei, Ketua Pengarah Jabatan Imigresen Datuk Seri Sakib Kusmi berkata seramai 37 pegawai jabatan itu dikenakan tindakan tatatertib sejak Februari lepas kerana terlibat dengan kegiatan mensabotaj myIMMs. Laporan Ketua Audit Negara 2015 Siri 1 menyatakan myIMMs yang dibangunkan bagi menyokong operasi utama Jabatan Imigresen kurang memuaskan dan menyebabkan objektifnya terjejas.