ALOR SETAR: Seorang lelaki cedera parah di tangan, dada dan perut selepas dipercayai ditetak dengan pisau oleh abang kandungnya di Jalan Tanjung Bendahara, di sini, Selasa. Dalam kejadian pada kira-kira 11.30 pagi itu, Mohd Rosli Mat, 37, turut patah tangan kanan manakala abangnya Mohamed Rashid Mat, 48, cedera di tangan kiri. Ketua Polis Daerah Kota Setar ACP Mohd Rozi Jidin berkata pihaknya menerima laporan pada pukul 12.10 tengah hari daripada jiran mangsa yang memaklumkan berlaku pergaduhan melibatkan dua beradik berkenaan. "Punca kejadian masih dalam siasatan tetapi dipercayai, berlaku salah faham antara dua beradik sehingga menyebabkan pergaduhan yang dipercayai bermula dari bilik hadapan sebelum mangsa ditemui dalam keadaan berlumuran darah di ruang dapur belakang rumah," katanya dalam kenyataa, Selasa. Beliau berkata Mohd Rosli yang mengalami kecederaan parah dihantar ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) manakala Mohamed Rashid yang ditahan polis turut dibawa ke hospital sama untuk rawatan. Sementara itu, saksi kejadian yang hanya mahu dikenali sebagai Acik, 16,berkata ketika kejadian beliau yang tinggal berhampiran rumah mangsa sedang berehat di rumah sebelum terdengar jeritan meminta tolong dari arah rumah mangsa kira-kira 11.30 pagi. "Selepas terdengar jeritan meminta tolong, saya bersama ahli keluarga yanglain pergi ke rumah mangsa dan terkejut melihat mangsa dalam keadaan tidak bermaya dan berlumuran darah di bahagian dapur rumah manakala abangnya yang turut cedera masih memegang senjata. "Abang mangsa yang menyedari kehadiran kami terus ke ruang tamu dan kami mengambil kesempatan itu untuk membawa mangsa keluar sebelum menghubungi polis,"katanya. Katanya, pasangan adik-beradik yang tinggal berdua di rumah itu kerap bertengkar sebelum ini akibat salah faham dan masalah keluarga.-Bernama