SUNGAI BESAR: Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Seri Mohamed Azmin Ali mengakui tidak tahu mengenai ‘surat kedua Anwar dari penjara’. Surat itu didakwa disampaikan bekas ketua pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim kepada Naib Presiden PKR yang juga Ahli Parlimen Bukit Katil, Shamsul Iskandar Mad Akin. “Saya tak tahu mengenai perkara tersebut, saya tak pasti sebab saya belum lihat laporan itu,” katanya kepada pemberita selepas majlis berbuka puasa di sini, Selasa. Azmin berkata demikian sebagai menjawab laporan The Star bahawa Shamsul Iskandar dikatakan menerima surat peribadi itu kerana sejak akhir-akhir ini kerap berhubung dengan bekas Or Menteri Tun Dr Dr Mahathir Mohamad atas urusan Deklarasi Rakyat. Bagaimanapun Azmin berkata, Anwar masih memainkan peranan penting dalam memastikan perjuangan parti itu dapat diteruskan. Katanya, sebagai ketua umum, Anwar masih menjadi rujukan paling utama dalam agenda reformasi PKR dan segala nasihatnya amat dihargai. “Perkara yang sama telah dinyatakan Anwar dalam surat pertamanya justeru ia bukanlah suatu isu besar,” katanya. Azmin berkata, walaupun Anwar, melalui surat pertamanya dari penjara telah memberi amaran kepada beberapa pimpinan tertinggi parti supaya ‘berhati-hati’ dengan Dr Mahathir berkaitan Deklarasi Rakyat, ia tidak bermaksud berlakunya perpecahan dalam parti itu. “Saya rasa tiada perpecahan, beliau memberi nasihat dari masa ke semasa. Selama ini pun beliau sering beri kenyataan dan nasihat kepada parti dan kepimpinan. “Semestinya kami menghargai nasihatnya kepada parti dan ia harus menjadi garis panduan dalam memastikan kami terus menumpukan agenda reformasi bagi mengukuhkan parti,” katanya. Tambahnya, parti itu juga akan terus menyokong Deklarasi Rakyat sambil memastikan ia mesti memberi fokus kepada agenda reformasi sebagai teras perjuangan parti.