suria

Pelbagai Bangsa Nikmati Buffet Ramadan

KUALA LUMPUR: Buffet Ramadan sudah menjadi satu kelaziman di negara ini.

Sebelum Ramadan lagi, pihak hotel dan restoran sudah mula berlumba-lumba mempromosikan buffet yang ditawarkan di premis masing-masing.

Pilihan menu yang banyak dan pelbagai menjadi tarikan utama kepada orang ramai untuk berbuka puasa di buffet Ramadan, meskipun harga yang perlu dibayar sedikit tinggi.

Bukan sahaja masyarakat Muslim, malah kaum lain turut tidak ketinggalan untuk menikmati beraneka juadah yang dihidangkan dalam buffet seumpama ini.

NIKMATI KEENAKAN MASAKAN SEMENANJUNG

Jongkueinee, 34, sering diajak ke buffet Ramadan, terutamanya di restoran-restoran, oleh rakan-rakannya yang beragama Islam.

"Terdapat banyak pilihan di sini dan semuanya rasa amat unik berbanding makanan dari kampung saya, antaranya nasi tomato, nasi kerabu dan tidak ketinggalan pelbagai jenis minuman.

"Masakan kegemaran saya ialah 'kambing golek', kata wanita ini yang berasal dari Kuching, Sarawak.

Ibu kepada seorang anak lelaki berumur dua tahun itu, sudah tiga tahun tinggal di Semenanjung dan bekerja di sebuah sekolah antarabangsa terkemuka di Lembah Klang.

Menurut Jongkueinee, melalui buffet Ramadanlah beliau dapat mengesan perbezaan rasa antara masakan di Semenanjung dengan masakan Sarawak walaupun pada menu yang sama.

"Masakan di Semenanjung rasanya lebih pekat berbanding di Sarawak. Apapun kedua-duanya lazat," katanya.

MERAIKAN KAWAN-KAWAN YANG BERPUASA

Sementara itu, eksekutif sebuah syarikat perhubungan awam, Koh Jia Ern, 27, berkata beliau berbuka puasa di buffet Ramadan bersama rakan-rakan berbilang bangsa bagi meraikan kenalan yang berpuasa dalam kalangan mereka.

"Kebiasaannya saya pergi ke buffet Ramadan bersama-sama rakan Melayu. Ia seperti satu perayaan bersama-sama rakan berlainan bangsa.

"Dan kami berbual mengenai pengalaman peribadi masing-masing mengenai makanan yang dimakan di buffet berkenaan dan di tempat lain. Kadang-kadang kita berkongsi resipi makanan," ceritanya.

Selain itu Jia Ern turut merasakan harga buffet yang ditawarkan masih berpatutan dan bersesuaian dengan tempat.

"Ia bergantung di mana tempat yang dipilih. Sesetengah tempat kita jangkakan harganya sedikit mahal tetapi makanannya berkualiti bagus, itu tidak mengapa bagi saya", katanya.

BUFFET MASIH RAIH SAMBUTAN MENGGALAKKAN

Bagi Pengurus Besar PNB Perdana Hotel and Suites On the Park, Ismail Hisham Ahmad Zambri, beliau melihat sendiri peningkatan pengunjung bukan Muslim ke buffet Ramadan kelolaan hotel itu sejak diperkenalkan pada 2007.

"Walaupun dalam keadaan ekonomi yang digambarkan kurang memuaskan dua tiga tahun kebelakangan ini, yang menyebabkan penurunan tempahan 'corporate entertainment' oleh syarikat-syarikat swasta, buffet Ramadhan di sini masih meraih sambutan yang amat menggalakkan, termasuklah daripada masyarakat bukan Islam dan para pelancong," katanya.

Menurut beliau, harga buffet yang ditawarkan syarikat itu masih sama sejak tiga tahun lepas iaitu RM139 untuk Restoran The 39 dan RM110 untuk Restoran 10 Binjai.

Ismail Hisham berkata kebiasaannya pada minggu pertama berpuasa, pengunjung tidak begitu ramai kerana ramai yang memilih untuk berbuka puasa di rumah.

Kehadiran pengunjung memuncak pada minggu kedua dan ketiga Ramadan, dan menyusut semula pada minggu terakhir.

Katanya lagi, samada di Restoran 10 Binjai, atau sambil menikmati panorama indah waktu malam Kuala Lumpur di Restoran The 39, buffet Ramadan di PNB Perdana sentiasa meriah dan tidak pernah putus pengunjung, khususnya pada minggu-minggu puncak.

Ini termasuklah para pelanggan tetap yang datang saban tahun kerana sudah mengetahui keistimewaan menu-menu yang terdapat di situ.

Antara yang menjadi kegemaran pastinya kari kepala ikan dan roti Benggali, di samping sup urat keting dan sup 'gear box'.

KEASLIAN MAKANAN

Chef Ard Abdul Aziz berkata kekuatan pada buffet Ramadan di PNB Perdana adalah pada 'authenticity' atau sifat asli makanan yang dihidangkan, yang berkonsepkan resepi ibunda.

Katanya Restoran The 39 akan menumpukan pada masakan kampung klasik seperti ketam masak lemak cili api, asam pedas ikan, udang sambal petai, kari kepala ikan dan kari ayam kampung batang pisang serta menu kegemaran gulai kawah, selain masakan Cina, Barat dan Mamak.

Manakala di 10 Binjai, pengunjung berpeluang menikmati keenakan variasi makanan tempatan seperti ayam berlado, ketam bercili ala Nonya, ayam masak merah madu dan ikan siakap stim halia muda.

Mengenai pembaziran, Chef Ard berkata, pihak hotel sudah boleh menjangkakan kuantiti makanan yang perlu disiapkan, dan tidak akan menyediakan makanan lebih daripada keperluan buffet.

"Katakan buffet untuk 100 orang, kita tidak siapkan satu-satu masakan itu untuk 100 orang.

"Selalunya kita akan buat dalam kuantiti yang tidak berapa banyak yang kita tahu mencukupi berdasarkan pengalaman kita.

"Jika ada keperluan untuk ditambah, mudah saja untuk kita masak 'on the spot', sebab bahan semua sudah tersedia ada," jelasnya. 

Ramadan

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain