SEREMBAN: Sebuah kedai buku di Terminal 1 dan sebuah kedai menjual pakaian di Terminal 2 Seremban di sini, terbakar dalam tempoh selang 20 minit, dipercayai akibat perbuatan khianat. Pegawai Bomba Kanan II Balai Bomba dan Penyelamat Seremban, Afizan Omar berkata kebakaran kira-kira 20 peratus di kedai buku itu melibatkan kerosakan pada rak, kertas, kad, pembalut buku dan siling. Beliau berkata pihaknya menerima panggilan pada 1.37 petang tadi, dan tiba di lokasi kejadian kira-kira tiga minit kemudian. "Ketika bomba tiba, api telah dipadamkan pekerja kedai terbabit. Kejadian dipercayai mempunyai unsur khianat dan siasatan sedang dijalankan bagi mendapatkan maklumat lanjut," katanya ketika dihubungi. Dalam pada itu, Pegawai Bomba Kanan II Balai Bomba dan Penyelamat Seremban, Hamizan Khaidir berkata bomba menerima panggilan mengenai kejadian kebakaran di kedai menjual pakaian di Terminal 2, kira-kira 1.58 petang dan tiba di lokasi pada 2.03 petang. "Premis terletak di bahagian bawah dan apabila kita tiba, api telah berjaya dipadamkan...kebakaran ini menyebabkan 10 helai pakaian kanak-kanak yang terdapat pada rak pakaian terbakar. "Kita sedang menjalankan siasatan bagi mengenal pasti punca kejadian yang mana kita percaya terdapat unsur khianat," katanya. Sementara itu, Ketua Polis Dearah Seremban ACP Muhamad Zaki Harun berkata pihaknya sedang mengesan suspek berdasarkan rakaman kamera litar tertutup di premis tersebut.