suria

Rumah Terbakar Ketika 12 Keluarga Berbuka Puasa

SIBU: Seramai 12 orang daripada sebuah keluarga yang sedang berbuka puasa terpaksa menyelamatkan diri apabila tingkat atas rumah mereka di Kampung Bahagia Jaya Teku di sini, terbakar kira-kira 7 petang Isnin.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak, Farhan Sufyan Borhan berkata rumah separa kayu dan simen itu musnah dan kebanyakan harta benda mangsa tidak dapat diselamatkan.

Pemilik rumah yang merupakan pemandu di sebuah jabatan kerajaan dan anggota keluarganya, bagaimanapun tidak mengalami sebarang kecederaan, katanya.

Farhan berkata sepasukan 10 anggota daripada Balai Bomba dan Penyelamat Sungai Merah dan tujuh anggota Balai Bomba dan Penyelamat Sibu, dikejarkan ke tempat kejadian sebaik menerima panggilan kecemasan pada 7.13 petang.

Sebaik tiba di lokasi kejadian, beliau berkata rumah tersebut sudah 90 peratus terbakar.

Beliau berkata pihaknya akan menjalankan siasatan untuk mengenal pasti punca dan jumlah kerugian akibat kebakaran itu.

Sementara itu, Penghulu Kampung Bahagia Jaya Ikhram Kassim berkata isteri pemilik rumah itu yang berusia dalam lingkungan 50-an dan anak perempuannya berusia 20-an, pengsan melihat rumah kediaman mereka musnah.

Kedua-dua mereka kemudian dibawa ke Hospital Sibu, katanya.

Ramadan

Artikel Sebelum

Artikel Lain