suria

286 Layak Undi Awal Di Sungai Besar

Anggota polis beratur sementara menunggu giliran membuang undi pada hari pengundian awal Pilihan Raya Kecil Sungai Besar pada pagi Selasa.

SUNGAI BESAR: Proses pengundian awal Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Sungai Besar pada Selasa melibatkan 286 pengundi berdaftar yang terdiri daripada anggota polis dan Pasukan Gerakan Am (PGA) serta pasangan masing-masing keluar melaksanakan tanggungjawab mereka.

Pusat pembuangan undi yang ditetapkan  iaitu Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sabak Bernam dibuka tepat pukul 8 pagi.

Proses pengundian dijadualkan berakhir pada pukul petang 2 petang bagi pengundi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sekinchan dan 5 petang bagi DUN Sungai Panjang.

Tinjauan mStar Online di pusat pembuangan  undi di sini mendapati ramai pengundi terlibat memilih untuk keluar mengundi lebih awal.

Keadaan di sekitar kawasan tenang dengan lalu lintas trafik lancar tanpa ada jalan yang ditutup.

Antara yang terawal mengundi adalah Timbalan Ketua Polis Perlis Asisten Komisioner Noormushar Mohd. Beliau akan pulang ke Perlis untuk menyambung tugas pada pukul 10 pagi ini.

Sementara itu calon Barisan Nasional (BN) Budiman Mohd Zohdi dan calon PAS Dr Abdul Rani Othman turut hadir ke pusat pembuangan undi untuk bertemu pengundi.

Difahamkan, setakat pukul 9 pagi, hampir 40 peratus pengundi awal telah membuang undi.

Pengerusi SPR Datuk Seri Mohd Hashim Abdullah dalam satu kenyataan sebelum ini berkata proses undi awal ini dijalankan mengikut kaedah pengundian biasa yang dikendalikan petugas SPR dan menggunakan dakwat pilihan.

PRK Sungai Besar menyaksikan pertandingan tiga penjuru di antara calon BN, calon PAS, dan calon Parti Amanah Negara Azhar Ab Shukur.

PRK Sungai Besar, undi awal

Artikel Berikut

Artikel Lain