PAS telah memilih Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Meru, Dr Abdul Rani Othman sebagai wakilnya untuk menentang Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Sungai Besar. Dilahirkan di Pelabuhan Klang pada 1958, bapa kepada lima orang anak ini mempunyai kliniknya sendiri di kawasannya, Meru, Klang. Ikuti temubual santai mStar Online bersama Dr Rani. Perasaan YB ketika dapat tahu dipilih sebagai calon? Masa dipanggil oleh Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man untuk pergi ke pejabat PAS Pusat dia kata nak bagi saya hadiah. Saya ingatkan hadiah betullah sebab dia baru balik dari China. Rupa-rupanya dia bagitau saya telah dipilih jadi calon. Saya masa tu dah hilang suara, mereka bagi makan pun saya dah tak berselera. Saya terkejut. Apakah reaksi YB seterusnya? Saya rayu, boleh tak saya buat solat Istikharah, mereka kata ‘no way’ sebab mereka kata sayalah calonnya. Saya terima, dalam Islam memang begitu. Islam ajar kita kalau keputusan jemaah maka kita ikut jemaah. Bila YB dapat tahu tentang perkara ini? Lebih kurang 10 jam sebelum perisytiharan calon. Tak sampai sehari. Saya minta Tuhan tolonglah saya. Tidak seperti dua calon lain, YB tiada kelebihan sebagai calon tempatan. Sejauh mana YB faham tentang kehidupan masyarakat di Sungai Besar? Kalau nak diikutkan saya boleh cakap macam tu kepada YB Lim Guan Eng, dia pun bukan dari P.Pinang. Banyak lagilah, Lim Kit Siang, Mat Sabu pun kenapa dia pergi Kelantan. Sallehuddin Ayub, dia pun macam tu juga, dia orang Johor boleh pula pergi ke Kelantan. Itu bukan masalahnya. Masalahnya sekarang Parlimen dan Adun, lain. Parlimen ni anda kena bawa isu-isu nasional, yang isu-isu setempat ni Adun yang mainkan peranan. Selepas beberapa minggu mengenali Sungai Besar, apa yang YB boleh katakan? Yang saya nampak banyak masalah tak diambil perhatian oleh kementerian tertentu, macam ia tak pernah disuarakan. Di Parlimen ada benda yang tak berani disuarakan. Saya dapati mereka di sini sangat peramah, mereka hidup berkomuniti cukup bahagia. Cina, majoriti dengan orang Melayu tak ada masalah. Itu yang kita beritahu dari awal bahawa kita takkan menyerang, kita menerang. Setakat ni saya puji polis sebab mereka bantu, mana-mana ceramah mereka jaga. Hobi/minat YB? Dulu main bola. Dulu saya dikenali sebagai ‘Raja Bola’, main untuk sekolah Pelabuhan Klang. Saya juga memang minat baca buku. Sebab itu saya di sekolah dulu walaupun majoriti Cina, dalam kelas saya cuma enam orang Melayu saya pelajar terbaik dan kemudian masa di Mesir saya tak tahu bahasa Arab tapi Alhamdulillah boleh lulus dengan baik. Sekarang minat saya membacalah! Bagaimana dengan Euro 2016 ni? Oleh kerana kesibukan ni, saya tak ikutlah. Makanan kegemaran YB? Benda-benda yang tak pedas. Memang dari dulu lagi tak makan pedas. Untuk kempen ni saya banyakkan makan kurma dan air putih…kalau ada air hijau boleh juga (gurau). Makanan kegemaran untuk sahur dan berbuka? Sama juga, tak pedas. Kadang-kadang saya makan bakso, sikit saja. Berbuka pun makan sikit saja. Kita kena ikut sunah Nabi Muhammad SAW, tinggalkan makanan sebelum kenyang. YB seorang yang... Berjiwa rakyat, saya calon bersama rakyat. Bagaimana tidur YB sepanjang tempoh berkempen? YB penat tak? Saya selalu tidur dalam pukul 1 pagi, pukul 4 saya dah bangun. Orang nampak ‘kesian’, tapi orang rumah saya tahulah, dah biasa dah. Ada apa-apa perubahan pada diri YB gara-gara aktif berkempen? Turun berat badan? Ada, memang turunlah. Selera makan kurang, macam-macam tanggungjawab. Kalau ada masalah dalam kerja YB buat apa? Saya selalu ingat pesan arwah Tuan Guru Nik Aziz. Dia kata kalau ada masalah rakyat, jangan percaya pada manusia. Saya bangun tengah malam solat dua rakaat. Kalau ada dua masalah, 15 jalan penyelesaian Allah bagi, InsyaAllah. Politik Malaysia... Bergantung kepada politik jenis apa yang dibawa. Ada parti dekat pilihan raya dia bagi macam-macam, kadang-kadang janji tak buat pun, samalah di Sabah dan Sarawak. Tapi kita dalam PAS disebabkan sudah dilatih dengan Islam, bila masuk sahaja pilihan raya ni, kemenangan itu bukan yang penting. Sebab tu lagu PAS (menyanyi) ’kalah menang bukan alasannya’, bukan itu. Kita akan ditanya di akhirat. Pembangkang di Malaysia... PAS selama ini kita pembangkang pun, kita nak sampaikan dakwah Islam ni bukan sahaja kepada orang Cina, India sahaja tetapi juga kepada semua orang Melayu untuk balik kepada Islam. Perubahan pertama yang akan YB buat jika menang PRK Sungai Besar? Saya doktor perubatan. Yang pertama sekali biarlah ada klinik bergerak untuk kes-kes pesakit terlantar. Kesian, tak ada orang yang nak lawat mereka rumah ke rumah.