suria

Kehadiran Azmin Kelirukan Rakyat - Hishammuddin


SUNGAI BESAR: Kehadiran Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali turun padang untuk kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) di sini hanya menimbulkan lebih tanda tanya kepada rakyat.

Naib Presiden Umno Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, adalah mengelirukan apabila Azmin muncul menyokong Pakatan Harapan dan dalam masa sama mendoakan PAS atas nama politik matang.

"Macam mana nak kata matang kalau ia mengelirukan rakyat," katanya kepada pemberita Rabu.

Bagaimanapun ketika ditanya, beliau tidak menafikan apa yang berlaku ini sedikit-sebanyak memberi kelebihan kepada Barisan Nasional (BN).

"Nak cakap tak ada kelebihan pun tak benar juga kerana bila pemimpin-pemimpin mereka turun, contohnya Azmin turun, timbulkan lebih banyak tanda tanya apabila dia sokong calon Amanah.

"Tapi pada masa sama doakan calon PAS selamat dan perancangan kempen berjalan lancar, apa makna hujah begitu, lebih-lebih lagi ia datang daripada pemimpin tertinggi pentadbiran Selangor," katanya.

Hishammuddin yang juga menteri pertahanan berkata, beliau telah berulang kali menasihatkan ahli dan jentera Umno supaya tidak mengambil kelemahan parti lawan sebagai kekuatan Umno.

"Yang penting kita sendiri kena pastikan rumah kita kuat.

"Saya percaya orang boleh nilai. Kalau itu boleh beri kelebihan kepada kita, dengan kekuatan, konsistensi jentera kita.

"Saya percaya kes itu akan beri satu kekuatan tapi itu tak mencukupi kalau kita sendiri tak pastikan apa yang kita rancang di atas kertas dapat diterjemahkan dalam satu perjalanan yang dapat dirasai pada hari pembuangan undi," katanya.

Pada Selasa, Azmin dalam ucapannya menyatakan sokongan secara terbuka kepada calon Parti Amanah Negara, Azhar Ab Shukur di majlis berbuka puasa Pakatan Harapan.

Dalam masa yang sama Azmin turut mendoakan calon PAS Dr Abdul Rani Osman yang turut muncul dan kemudian berbuka puasa bersama dalam majlis tersebut.



Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain