suria

Juruhebah Bebas Ditahan Bantu Siasatan Kes Langgar Lari

Baharudin Mat Taib.

JOHOR BARU: Polis menahan seorang juruhebah bebas, Sabtu lepas, bagi membantu siasatan kes langgar lari terhadap seorang penunggang motosikal rakyat Singapura di KM9 Jalan Johor Baharu-Kota Tinggi, 5 Jun lepas.

Ketua Jabatan Ketenteraman Awam dan Trafik Johor, Supt Baharudin Mat Taib berkata usaha mengesan lelaki berumur 32 tahun itu giat dijalankan sebelum polis berjaya menahannya kira-kira 4.45 pagi, di sekitar kawasan Kota Tinggi.

"Mengikut keterangan awal, juruhebah bebas terbabit mengaku melanggar mangsa ketika kejadian itu. Dia kini direman mulai Sabtu lepas sehingga hari ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya kepada pemberita di sini Rabu.

Baharudin berkata dalam kejadian kira-kira 7.53 pagi, 5 Jun itu, lelaki rakyat Singapura berkenaan, Zulkefli Yusof, 48, dikatakan dilanggar sebuah kereta Proton Waja yang berada di lorong kanan ketika cuba memasuki susur jalan.

Katanya berdasarkan siasatan, Zulkefli memasuki lorong yang betul sebelum kereta Proton Waja dari arah kanan itu melanggar motosikalnya.

"Akibat pelanggaran itu menyebabkan Zulkefli terjatuh di atas jalan dan dirempuh sebuah lagi kereta dari arah belakang manakala motosikalnya juga dikatakan tercampak sejauh 44 meter," katanya.

Baharudin berkata Zulkefli maut di tempat kejadian dan pemandu kereta Proton Waja yang melanggarnya itu kemudian melarikan diri.

Dalam perkembangan lain, Baharudin menggesa orang ramai di negeri ini supaya mematuhi peraturan jalan raya pada musim perayaan terutamanya tidak meletakkan kenderaan di tepi jalan yang menghalang lalu lintas.

Beliau berkata tindakan seumpama itu semakin menjadi-jadi dalam tempoh dua minggu ini, terutamanya di beberapa kawasan pusat beli-belah sekitar bandar raya ini dan Terminal Pengangkutan Awam Larkin Sentral.

Katanya polis tidak akan teragak-agak mengeluarkan saman terhadap mana-mana kenderaan yang menghalang lalu lintas manakala Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) seperti Majlis Bandaraya Johor Baharu juga akan menunda kenderaan terlibat.

"Polis Johor sudah menerima 400 sistem alat pengesan Sistem Bayaran Kompaun Dalam Talian (MCOPS) bulan lepas bagi memudahkan tugas mengesan pesalah jalan raya. Kita juga meminta pusat beli-belah supaya sentiasa memberi hebahan bagi menyedarkan pengunjung," katanya.

Baharudin berkata sejumlah 1,791 saman dikeluarkan pihaknya di kawasan Larkin dari Januari hingga bulan lepas, dengan 1,218 merupakan kesalahan kerana meletakkan kenderaan yang menghalang lalu lintas. - BERNAMA

Artikel Lain