WAN Essan Kebab Enterprise menjual pelbagai pilihan kebab istimewa di Bazar Ramadan Setia Alam sempena bulan Ramadan ini. Md Firdaus Zolkefili,23, dari Meru, Klang menjalankan perniagaan ini bersama tiga orang lagi kawannya dengan menyediakan pelbagai jenis pilihan seperti kebab roti pita, roti putih dan roti Lebanon. "Roti Lebonan ini diadun sendiri oleh warga Lebanon yang tinggal di Malaysia sebelum dihantar ke gerai kami. "Ini merupakan tahun pertama kami berniaga di bazar Ramadan Setia Alam dan sambutannya sangat baik ketika waktu puncak. Orang ramai beratur menunggu giliran untuk membeli kebab. "Biasanya, kami menyediakan 20kg ayam, 20kg daging lembu dan 10kg daging kambing untuk membuat kebab ini," jelasnya. Sementara itu, salah seorang rakannya Mohd Hadi Syafiq berkata, bahan-bahan mentah itu diperap dengan rempah-ratus seperti kulit kayu manis, halia, serai, lada hitam, bawang besar dan kunyit selama tiga jam. "Selepas itu kami mula memasak sekitar pukul 4 petang dan menyediakan kebab sebelum gerai dipenuhi pembeli," katanya. Kebab yang menggunakan roti biasa (putih) atau kebab ayam pita berharga RM4, manakala kebab daging lembu dan kambing ialah RM4.50 dan RM6. Selain itu, harga kebab ayam dengan roti Lebanon bernilai RM6, kebab daging bersama roti Lebanon RM7 dan kebab kambing roti Lebanon berharga RM8. Selain di Setia Alam, Gerai Wan Essan Kebab turut dibuka di TTDI Jaya, U8 di Bukit Jelutong dan Seksyen 20 Shah Alam. Berikutan sambutan hangat kebab ini, Azlan Abdul Wahab,38, yang tinggal di Shah Alam mengakui ianya kelihatan sangat menyelerakan dan akan mencubanya buat kali pertama. Manakala salah seorang pelanggan Gerai Wan Essan Kebab, Hamidah Abd Wahid,49, dari Setia Alam akan menikmati kebab itu ketika waktu berbuka puasa.