KUANTAN: Hasrat 12 lelaki termasuk seorang pelajar tingkatan dua dipercayai mahu mendapatkan bekalan air ketum membawa padah apabila polis membuat serbuan ke atas sebuah rumah di Felda Mempaga 3, Bentong, Rabu. Ketua Polis Daerah Bentong Superitendan Mohamad Mansor Mohd Nor berkata, semasa kejadian pukul 10 malam itu, semua suspek yang berusia 14 hingga 56 tahun itu sedang berkumpul di bahagian beranda rumah cuba untuk melarikan diri apabila menyedari kehadiran polis. Dua daripada suspek merupakan warganegara Indonesia dan dua lagi turut didapati positif Amphetamine manakala seorang positif dadah jenis Tetra Hydrocannabinol (THC). "Siasatan mendapati semua suspek kerap mendapatkan bekalan air ketum di rumah itu yang dijadikan tempat memproses air ketum untuk dijual kepada penduduk Mempaga dengan harga antara RM10 ke RM20 sebungkus. "Pemilik rumah dipercayai mendapatkan bekalan daun ketum di kawasan lain pada harga RM23 sekilogram (kg)," katanya semasa dihubungi di sini, Khamis. Mohamad Mansor berkata, polis turut merampas 25 kg daun ketum di atas lantai bilik belakang rumah itu, 40 bungkus plastik dan satu tong besar yang dipercayai mengandungi 100 liter cecair hijau disyaki air ketum. Kes disiasat mengikut Seksyen 30 (3) Akta Racun 1952 yang membawa hukuman penjara maksimum empat tahun atau denda RM10,000 atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan. -- Bernama