suria

Lelaki Ditahan Disyaki Hantar Mesej Hina, Sakitkan Hati TMJ

JOHOR BARU: Seorang lelaki berusia 31 tahun ditahan di Taman Bukit Bendera, Mentakab, Pahang, tengah hari tadi kerana disyaki menghantar mesej berbentuk jelik yang menghina dan menyakitkan hati Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim.

Ketua Polis Johor Datuk Wan Ahmad Najmuddin Mohd berkata penangkapan itu adalah susulan laporan polis yang dibuat pada 2 Jun lepas, ekoran suspek dipercayai memuat naik mesej itu menerusi akaun Facebook atas nama "Chong Choonhau".

"Turut dirampas adalah dua unit tablet jenama Samsung dan Asus. Suspek akan direman esok di Mahkamah Majistret Johor Baru bagi melengkapkan siasatan," kata beliau dalam satu kenyataan di sini, Jumaat.

Kes itu disiasat di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998,  jika sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM50,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi satu tahun atau kedua-duanya sekali.

Wan Ahmad Najmuddin berkata orang ramai dinasihatkan agar tidak menyalahgunakan laman sosial tanpa berfikir panjang.

Beliau berkata pihaknya akan mengambil tindakan tegas dan pesalah akan didakwa.-- Bernama



Artikel Lain