PETALING JAYA: Chickaboo, burung unta yang terlepas di Lebuh Raya Persekutuan terus melekat di hati kita. Burung unta itu yang berjaya melepaskan diri menerusi tingkap sebuah Toyota Hilux semasa dalam perjalanan ke sebuah ladang haiwan tersebut kini menjadi sensasi di Internet. Walaupun Chickaboo berjaya diselamatkan dan kini menikmati rumah baharunya di Ostrich Wonderlands, burung unta itu terus menjadi bualan hangat di laman media sosial. Banyak syarikat memanfaatkan populariti Chickaboo dengan menampilkan haiwan itu di dalam iklan mereka. Pelumba profesional, Leona Chin turut berkongsi gambar Chickaboo di dalam Mitsubishi Triton miliknya di laman Facebook Girl Drifter Leona Chin. "Mengapa berada di atas jalan raya apabila anda boleh menaiki #Trition? Rakan perjalanan baharu saya," tulisnya. Dalam pada itu, Chickaboo turut membuat lawatan ke Hamleys Malaysia dengan pusat jualan mainan itu berkongsi sekeping gambar seekor burung unta berada di salah sebuah pusat rangkaian jualannya. Chickaboo juga menjadi wajah baharu bagi iklan E Image Aesthetic untuk teknik sambungan bulu mata. "Mari kita hadapinya! Dapatkan sambungan bulu mata anda panjang seperti burung unta," demikian menurut kapsyen iklan tersebut. Huawei juga menampilkan Chickaboo dalam iklan Facebook mereka yang menekankan keupayaan kamera Huawei P9 keluaran syarikat itu. Sementara itu, Litar Antarabangsa Sepang (SIC) mengingatkan orang ramai supaya berlumba di tempat yang betul dan bukannya di jalan atau lebuh raya. SIC turut menampilkan seekor burung unta di atas litarnya. Pos Malaysia juga tidak ketinggalan menggunakan populariti Chickaboo dalam iklan mereka. Dalam iklan itu memaparkan seekor burung unta berada hadapan kaunter Pos Malaysia dengan kapsyen “Fuhh, nasib baik sempat.” Iklan itu merujuk kepada maklumat lanjut mengenai perubahan waktu operasi kaunter di pejabat pos, Pos Line & cawangan Pos Laju sepanjang bulan Ramadan. Malah Score Run mempersoalkan mengapa burung itu berada di lebuh raya dalam iklan mereka untuk promosi "Super Early Bird". Syarikat lain yang turut menggunakan Chickaboo sebagai model iklan mereka ialah Chevrolet, CIMB, Nescafe, Firefly, Ezbuy, vivo, Kansai Paint dan banyak lagi.