suria

Menang Dua PRK Bukan Tiket Untuk BN Ego, Takbur - PM

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak ketika berucap bagi meraikan kemenangan calon BN, Budiman Mohd Zohdi di Dewan Seri Bernam, tengah malam Sabtu.

SUNGAI BESAR: Kemenangan Barisan Nasional (BN) dalam dua pilihan raya kecil, masing-masing di sini dan Kuala Kangsar bukan untuk ahli serta pemimpin parti itu bersikap ego dan takbur.

Demikian nasihat Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak kepada kepimpinan dan ahli BN ketika berucap di Dewan Seri Bernam di sini, tengah malam Sabtu susulan kemenangan besar masing-masing dengan majoriti 9,191 undi dan 6,969 undi.

Malahan kata beliau, perkara paling utama adalah untuk memastikan rakyat sentiasa menyokong BN kerana ternyata ia parti yang menjadi pilihan.

"Jangan ego, takbur, perlu merendah diri kerana kita berkhidmat untuk rakyat dan mahu rakyat terus beri sokongan kepada BN," katanya ketika berucap di Dewan Seri Bernam di sini bagi meraikan kemenangan calon BN, Budiman Mohd Zohdi tengah malam Sabtu.

Beliau juga mengucapkan tahniah kepada Datin Mastura Mohd Yazid yang turut memenangi PRK Kuala Kangsar.

Kata Najib yang juga Pengerusi BN, parti itu memberi jaminan untuk terus memenuhi kehendak rakyat dan membantu penduduk untuk mengecapi kemajuan serta masa depan yang cerah.

"Cuma BN saja yang boleh membawa kemajuan, menjamin masa depan, selesaikan masalah, keamanan dan mencapai kestabilan," katanya lagi.

Bagi PRK Sungai Besar, BN menerusi Budiman diumumkan sebagai pemenang dalam pertembungan tiga penjuru ini dengan majoriti 9,191 undi, meninggalkan calon Parti Amanah Negara (Amanah) dengan 7,609 undi dan calon PAS, Dr Abdul Rani Osman yang mendapat 6,902 undi.

Sementara itu, di Kuala Kangsar pula Mastura memperoleh 12,653 undi, meninggalkan calon PAS, Dr Najihatussalehah Ahmad dengan 5,684 undi, manakala Amanah yang diwakili Prof Dr Ahmad Termizi Ramli mendapat 4,883 undi. Selain itu, calon Bebas, Izat Bukhary Ismail Bukhary hilang wang deposit apabila hanya mendapat 54 undi.



Artikel Lain