GEORGE TOWN: Pesakit Talasemia, D. Shamine, 13, percaya dia tidak akan hidup seperti hari ini jika tidak disebabkan bapanya. "Terlalu banyak perkara yang saya mahu katakan mengenai bapa saya dan hanya ada sedikit masa untuk mengatakannya. "Selamat Hari Bapa kepada anda, appa," katanya selepas membuat persembahan tarian pada Hari Kesedaran Talasemia anjuran Persatuan Talasemia Pulau Pinang di sini, Ahad. Bapa Shamine, R. Doraisingam, 47, berkata dia dan isterinya mendapati ketulan di dalam abdomen anak perempuan mereka itu ketika berusia dua tahun. "Perutnya kembung dan kami tidak pasti mengenainya. "Selepas mengambil ujian darah di Hospital Pulau Pinang, doktor memberitahu kami bahawa dia menghidap penyakit 'Talasemia major' dan perlu melakukan pemindahan darah setiap bulan," katanya. Doraisingam berkata tujuh bulan kemudian, doktor memberitahu dia perlu melakukan terapi chelation di rumah setiap hari selama lapan jam sepanjang hidupnya. "Kami perlu memastikan dia tidur sebelum melakukan suntikan di perutnya pada awal pagi," katanya yang menggesa semua pasangan supaya melakukan ujian darah sebelum berkahwin. Shamine berkata dia amat benci suntikan pada perutnya kerana ia amat menyakitkan. "Saya pernah menjerit dan menangis. Saya bertuah kerana mempunyai bapa yang sentiasa bersama saya setiap masa," katanya. Shamine yang terpaksa mengambil suntikan dan melakukan pemindahan darah sehingga berusia 10 tahun, merupakan antara salah seorang daripada pesakit Talasemia yang dapat bertahan dengan prosedur ini bagi memastikan keadaannya sentiasa dipantau.