suria

Padah Curi Barang Kosmetik, Ibu, Tiga Anak Dan Menantu Dipenjara Tiga Tahun

KOTA TINGGI: Seorang ibu tunggal, tiga anak dan seorang menantu perempuannya dijatuhi hukuman penjara tiga tahun oleh Mahkamah Majistret, di sini, Selasa, selepas mengaku bersalah mencuri pelbagai barang kosmetik, di Bandar Tenggara di sini, Jumaat lepas.

Majistret Mazana Sinin menjatuhkan hukuman itu terhadap, Rohaya A Rahman, 57, tiga anaknya, Maimunah Che Abdullah, 26, Noriza, 39 dan Nurul Fatihah, 19, serta menantunya, Zariah Zakariya, 37, selepas mereka membuat pengakuan atas pertuduhan yang dibacakan oleh jurubahasa.

Kesemua mereka yang menangis sejurus hukuman ditetapkan, didakwa secara bersama-sama mencuri di dalam bangunan dengan mengambil 17 barang kosmetik pelbagai jenama bernilai RM2,171.50 di kedai Produk Kesihatan dan Kecantikan Sri Tanjung, Jalan Anggerik 4/1, Taman Anggerik, Bandar Tenggara, di sini, kira-kira 11.40 pagi, 17 Jun lepas.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun yang sama, yang memperuntukkan hukuman maksimum penjara 10 tahun dan denda manakala bagi kesalahan kali kedua atau seterusnya boleh dipenjara dengan denda atau sebatan, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Suhaila Shefiuddin yang memohon mahkamah mengenakan hukuman setimpal atas faktor kepentingan awam, mengambil kira perbuatan terbabit mencemar bulan Ramadan selain Rohaya sepatutnya menasihati anak serta menantunya dan bukannya turut terlibat dengan perbuatan itu.

Peguam kesemua tertuduh, Nik Raihan Nik Jaafar pula memohon mahkamah meringankan hukuman dengan alasan kesemua anak guamnya mempunyai anak antara seorang dan sembilan orang, selain itu Nurul Fatihah juga sedang mengandung enam bulan.

Mazana kemudian memerintahkan kesemua mereka dipenjara tiga tahun dengan hukuman terbabit bermula dari tarikh tangkapan iaitu 19 Jun lepas (Ahad).-- Bernama


Artikel Berikut

Artikel Lain