suria

Serpihan Ditemui Di Pulau Kangaroo, Australia Bukan Daripada MH370

KUALA LUMPUR: Serpihan ditemukan di sebuah pulau di Australia awal bulan ini bukan daripada pesawat Malaysia Airlines yang hilang, Penerbangan MH370, kata Biro Keselamatan Pengangkutan Australia (ATSB).

ATSB berkata syarikat pengeluar pesawat itu, Boeing, mengesahkannya selepas penyiasat mengambil serpihan itu dan memeriksanya.

"Pada 9 Jun 2016, ATSB dinasihatkan tentang kemungkinan serpihan yang ditemukan di Pulau Kangaroo di selatan Australia adalah daripada pesawat itu (MH370).  ATSB mengambil serpihan itu dan memeriksanya, bersama-sama dengan pihak berkuasa Malaysia dan Boeing. 

"Maklumat diterima daripada syarikat pengeluar menunjukkan serpihan itu tidak konsisten dengan spesifikasi pembuatan bagi pesawat komersial Boeing.

"Sehubungan itu, ATSB telah membuat penilaian bahawa serpihan itu tiada kaitan dengan penyiasatan keselamatan atau misi pencarian yang sedang dijalankan  bagi MH370," menurut ATSB dalam laman webnya pada Rabu.

Awal bulan ini, dilaporkan beberapa keping serpihan juga ditemukan di Madagascar oleh seorang lelaki yang menjalankan kegiatan mencari serpihan pesawat yang hilang itu.

MH370 yang membawa 239 penumpang dan anak kapal dilaporkan hilang pada Mac 2014 ketika dalam penerbangan dari Kuala Lumpur ke Beijing. - Bernama

MH370, ATSB

Artikel Lain