suria

Peguam Wakili Justo Tarik Diri

Xavier Andre Justo

SINGAPURA: Para peguam Singapura mewakili Xavier Andre Justo, bekas kakitangan PetroSaudi International, telah menarik diri daripada terus mewakilinya, The Straits Times melaporkan pada Khamis.

Laporan itu berkata perintah mahkamah yang dikeluarkan pada Isnin oleh Penolong Pendaftar N. Ramasamy membenarkan permohonan oleh firma guaman Damodara Hazra untuk menarik diri daripada mewakili Justo dan firmanya, Justo Consulting dalam saman ke atas pemilik kumpulan media The Edge, Tong Kooi Ong dan dua yang lain.

Perintah mahkamah itu juga membenarkan para peguam untuk menyerahkan notis kepada Justo melalui perkhidmatan despatch ke penjara Bangkok kerana dia sekarang ditahan di penjara itu.

Laporan itu berkata dalam permohonan yang difailkan di mahkamah untuk memohon menarik diri daripada teus mewakili Justo, peguam Clement Ong menjelaskan bahawa peguam-peguam utama Justo dari firma guaman Lalive, yang berpusat di Geneva memberitahu bahawa mereka tidak lagi mewakili Justo.

Laporan berita itu berkata bahawa langkah menarik diri tanpa penggantian peguam bermakna proses saman itu akan berakhir dengan kegagalan.  

Menurut laporan berita sebelum ini, yang berdasarkan dokumen-dokumen mahkamah yang difailkan November lalu, Justo mendakwa dia telah menyerahkan dua pemacu cakera liut dengan kehadiran Tong di Singapura tahun lepas sebagai ganjaran bagi AS$2 juta (RM7.77 juta) yang tidak pernah diterimanya.

Dia mahu barang itu, yang mengandungi data tentang PetroSaudi dan rakan kongsi perniagaannya 1Malaysia Development Bhd (1MDB) - dikembalikan dan mana-mana salinannya dimusnahkan, kata laporan itu. 

Tong dilaporkan berkata bahawa Justo tidak mempunyai hak menyimpan pemacu cakera liut tersebut kerana ia dicuri dari PetroSaudi.

Justo, warga Switzerland, kini menjalani hukuman penjara selama tiga tahun di Thailand kerana cuba peras ugut PetroSaudi.

Maklumat dari Justo dikatakan dikaitkan dengan artikel yang disiarkan dalam The Edge dan The Sarawak Report mengenai 1MDB.-Bernama

Xavier Andre Justo

Artikel Lain