suria

Pesawat Eaglexpress 'Ditarik', Didakwa Tak Bayar Sewa

Gambar hiasan.

PETALING JAYA: Ketika Eaglexpress Air Charter Sdn Bhd (Eaglexpress) berdepan masalah tunggakan gaji pekerja selama dua bulan, pesawat yang digunakan syarikat penerbangan itu pula didakwa ‘ditarik’ kerana gagal membayar sewa, baru-baru ini.

Sumber yang juga salah seorang kakitangan syarikat penerbangan itu mendakwa insiden tersebut melibatkan pesawat Airbus A330 sejurus ia tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dari Jeddah pada 7 Jun lalu.

Menurut sumber yang enggan dikenali, kejadian itu mengakibatkan lebih 300 jemaah yang sepatutnya menaiki penerbangan ke Jeddah untuk menunaikan ibadat umrah terkandas.

Dakwanya, punca pesawat itu ditarik kerana kegagalan Eaglexpress membayar sewa, tetapi tidak mengulas lanjut jumlah atau tempoh tunggakan itu. Difahamkan syarikat yang menyewakan pesawat tersebut berpangkalan di Amerika Syarikat (AS).

“Insiden pesawat A330 kena tarik menyebabkan lebih 300 jemaah yang sudah berada di KLIA untuk ke Jeddah terkandas. 

“Bagaimanapun, kesemua mereka diterbangkan menggunakan pesawat lain yang digunakan Eaglexpress iaitu Boeing 747, esoknya pada 8 Jun,” katanya kepada mStar Online dalam pertemuan baru-baru ini.

Eaglexpress yang merupakan syarikat penerbangan carter menggunakan satu pesawat A330 dan tiga pesawat Boeing 747 bagi perkhidmatan umrah dan haji.  

Sementara itu, jurucakap Eaglexpress ketika dihubungi mengesahkan insiden pesawat A330 'ditarik' penyewanya pada 7 Jun lalu, mengakibatkan sekumpulan jemaah terkandas.

Ditanya adakah ia disebabkan kegagalan syarikat membayar sewa pesawat seperti yang didakwa, jurucakap itu menyifatkannya sebagai ‘penamatan kontrak lebih awal yang tidak dijangka antara kedua pihak’.

“Kita mempunyai deposit tiga bulan dengan mereka (syarikat menyewakan pesawat),” katanya sambil mendakwa pesawat tersebut diambil semula tanpa diberikan notis lebih awal kepada syarikat penerbangan itu. 

“Mereka mahu mengambil balik pesawat, jadi kita biarkan mereka ambil. Kalau tiada persetujuan bersama, kenapa kita perlu teruskan (guna pesawat syarikat itu). Bagaimanapun, kita akan menyelesaikan isu tersebut dengan mereka, kita tidak akan duduk diam sahaja,” tambah jurucakap itu.

Mengulas lanjut, jurucakap itu berkata, semua jemaah yang terkandas diberikan penginapan di hotel sementara menunggu penerbangan pada 8 Jun. 

“Kita masih ada pesawat lain iaitu 747. Jemaah yang terkandas diterbangkan menggunakan pesawat 747 pada hari berikutnya,” katanya.

Terdahulu, pada Isnin, mStar Online mendedahkan sebuah syarikat penerbangan carter gagal membayar gaji pekerjanya termasuk tidak membuat caruman KWSP dan Perkeso.

Eaglexpress kemudiannya tampil mengakui tunggakan gaji berlaku disebabkan syarikat itu mengalami masalah kewangan sejak Februari lalu.

Bagaimanapun ia masih membuat 'sebahagian bayaran kepada sebahagian pekerja' berdasarkan permintaan dan keperluan pekerja, berikutan sumber kewangan syarikat yang terhad.

Eaglexpress pada Selasa lalu memberi jaminan untuk melunaskan tunggakan gaji pekerjanya seawal-awalnya minggu depan, iaitu sebelum Aidilfitri, susulan perniagaan syarikat penerbangan itu kembali normal.

Eaglexpress

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain