suria

“Jangan Buat Spekulasi Terhadap SPRM” - Mustafar Ali

Mustafar Ali.

KUALA LUMPUR: Masyarakat diminta tidak membuat sebarang spekulasi terhadap Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) susulan keputusan ketua pesuruhjayanya, Tan Sri Abu Kassim Mohamed menamatkan perkhidmatannya lebih awal.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) SPRM, Datuk Seri Mustafar Ali berkata, pihaknya sentiasa mempunyai perancangan mencukupi di peringkat dalaman yang dibuat oleh barisan kepimpinan bagi memastikan kelangsungan usaha pencegahan rasuah dapat dilaksanakan dengan sempurna.

“Jangan buat apa-apa spekulasi. Tindakan Tan Sri Abu Kassim melepaskan jawatannya memang telah disebutkan semalam dengan jelas, beliau telah memohon sampai tiga kali dan akhirnya kerajaan telah bersetuju.

“Kepimpinan datang dan pergi, dalam tindakan kita tentunya perancangan secukupnya telah dibuat oleh kepimpinan baik yang nombor satu, nombor dua…dan tentunya ada lagi pegawai-pegawai kanan yang akan menerajui (SPRM),” katanya kepada pemberita selepas melancarkan Kempen Kesedaran Pencegahan Rasuah di Restoran Jejantas Sungai Buloh di sini, Jumaat.

Mustafar berkata, apa yang penting adalah masyarakat perlu meletakkan kepercayaan terhadap SPRM dan memberikan kerjasama serta sokongan dalam memastikan aktiviti-aktiviti pencegahan rasuah dapat dilakukan tanpa sebarang halangan.

“Mungkin orang akan ada persepsi SPRM akan terencat dan sebagainya, tetapi percayalah dengan saya bahawa kita telah menyiapsediakan tindakan supaya kelangsungan usaha pencegahan rasuah itu dilaksanakan sebaik mungkin,” katanya.

Jelasnya, dalam usaha mencegah rasuah, SPRM tidak melakukannya secara bersendirian, sebaliknya ia hanya dapat dilakukan dengan kerjasama daripada semua lapisan masyarakat.

“Barisan kepimpinan yang ada akan terus menerajui SPRM bagi memastikan kelangsungan usaha pencegahan rasuah itu tidak akan terhenti.

“Paling penting SPRM tidak akan bertindak keseorangan, pastinya kita bertindak dengan semua lapisan masyarakat, lapisan peringkat kepimpinan, peringkat swasta dan NGO,” katanya.

Mengenai pengganti Abu Kassim, Mustafar enggan mengulas lanjut dengan menyatakan ia akan dilakukan mengikut proses yang telah ditetapkan.

Pada Khamis, Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dr Ali Hamsa mengesahkan bahawa Abu Kassim tidak akan meneruskan perkhidmatan sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM mulai 1 Ogos seperti dipohonnya.

Artikel Lain