suria

Judi Euro: Empat Lelaki Ditahan

KOTA KINABALU: Polis menahan empat lelaki disyaki terlibat dengan aktiviti perjudian bola sepak Euro 2016 dalam serbuan Op Soga di empat lokasi berasingan di sekitar bandar raya ini pada 13 hingga 22 Jun lepas.

Ketua Polis Bandaraya Kota Kinabalu ACP M. Chandra berkata kesemua lelaki berkenaan berumur antara 20 dan 39 tahun.

"Polis turut merampas beberapa kelengkapan dipercayai digunakan untuk aktiviti itu seperti kalkulator, sebuah komputer, buku bil berkarbon, empat telefon bimbit, lima keping kertas 'master sheet' tercatit nama pasukan bola sepak Euro 2016, enam keping kertas bookie selain wang tunai berjumlah RM829," katanya dalam sidang media di sini, Jumaat.

Chandra berkata kes disiasat di bawah Seksyen 6 (3) Akta Pertaruhan 1953, dan jika sabit kesalahan suspek terlibat boleh dihukum denda tidak lebih RM200,000 atau penjara tidak lebih 5 tahun.

Beliau mengingatkan masyarakat supaya mengelakkan diri serta tidak terlibat dengan sebarang kegiatan perjudian haram.

Dalam perkembangan berkaitan, Chandra berkata sebanyak 46 individu masing-masing 25 lelaki dan 21 perempuan berumur antara 18 hingga 70 tahun ditahan dalam 29 operasi judi haram Op Dadu sekitar bandaraya sejak Januari hingga 22 Jun tahun ini dengan nilai rampasan berjumlah RM10,843.

Chandra berkata polis tidak akan bertolak ansur dalam sebarang aktiviti perjudian haram dan serbuan serta tangkapan menerusi Op Dadu akan diteruskan dari semasa ke semasa.

Mengenai kes samun, Chandra berkata empat lelaki berumur antara 22 hingga 29 tahun yang telibat dalam kegiatan samun sekitar Kota Kinabalu akhirnya tumpas selepas ditahan polis dalam beberapa serbuan di dua lokasi berasingan pada 10 dan 17 Jun lalu.

Katanya mereka yang merupakan anggota 'Geng Ajis' itu ditahan selepas polis menjalankan siasatan berhubung laporan seorang mangsa yang mendakwa dirinya telah disamun oleh dua lelaki tidak dikenali pada 8 Jun, kira-kira jam 3 pagi di rumah mangsa di Taman Austral Kepayan, di sini.

Beliau berkata kesemua mereka mempunyai rekod jenayah lampau dan pernah menjalani hukuman penjara atas kesalahan samun.

Chandra berkata polis turut merampas pelbagai barangan bernilai kira-kira RM30,000 termasuk kenderaan dalam serbuan terbabit.

judi

Artikel Sebelum

Artikel Berikut