suria

Pembuangan Sisa Pepejal Di KL Meningkat 25% Pada Ramadan

KUALA LUMPUR: Jumlah pembuangan sisa pepejal di ibu kota pada bulan Ramadan meningkat 25 peratus atau 3,000 tan sehari, berbanding 2,500 tan sampah pada hari biasa.

Ketua Pengarah Eksekutif Alam Flora Sdn Bhd (Alam Flora), Datuk Mohd Zain Hassan berkata sisa makanan yang tidak dihabiskan atau tidak diusik, termasuk yang dijual di bazar Ramadan adalah antara penyumbang utama kepada peningkatan jumlah sampah tersebut.

"Setiap kali bulan puasa, kita dapat lihat kebanyakan masyarakat melakukan pembaziran makanan sehinggakan jumlah sisa pepejal yang dibuang di kawasan Kuala Lumpur meningkat kira-kira 400 tan sehari," katanya kepada pemberita selepas program Imarah Ramadan Bersama Alam Flora di sini.

Beliau menasihatkan rakyat agar mengelak pembaziran dan berbelanja mengikut keperluan serta memastikan sampah diuruskan dengan lebih baik.

Terdahulu, Mohd Zain menyampaikan sumbangan Aidilfitri kepada 30 anak yatim dan asnaf serta mengagihkan 1,000 bungkusan bubur lambuk percuma kepada penduduk sekitar Kampung Batu Muda di sini.

Kira-kira 50 kakitangan Alam Flora bergotong-royong memasak bubur lambuk, bermula 10 pagi tadi.

Alam Flora juga menyumbangkan beberapa peralatan baharu termasuk Al-Quran, rak kasut dan karpet bagi kegunaan kariah Surau Ibrahimiah Kampung Batu Muda.

Artikel Lain