PETALING JAYA: Datuk Seri Shafie Apdal yang kini mengerjakan umrah di Arab Saudi akan mengeluarkan kenyataan berhubung penggantungan keahlian dalam Umno. Beliau berkata, satu kenyataan akan dikeluarkan tidak lama lagi. Naib Presiden Umno itu digantung keahliannya oleh Majlis Tertinggi (MT) parti selepas mesyuarat di Menara Dato' Onn di Kuala Lumpur pada Jumaat. Presiden Umno, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, penggantungan keahlian Shafie sehingga MT menerima laporan daripada Jawatankuasa Disiplin Umno mengenainya. MT turut mengumumkan keputusan untuk memecat bekas timbalan perdana menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan bekas menteri besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir dari Umno. Najib berkata, keputusan pemecatan itu kerana kedua-duanya berada di atas pentas bersama-sama pemimpin pembangkang membuat ucapan dan menyerang pimpinan dan parti.