TAWAU: Sebanyak 118 Pendatang Asing Tanpa Izin (Pati) warga Indonesia yang ditahan di Pusat Tahanan Sementara (PTS) Tawau dihantar pulang ke negara asal mereka kira-kira pukul 5 petang Jumaat. Timbalan Penolong Pengarah Imigresen Tawau, Asparinah Mohd Zain berkata kesemua Pati masing-masing 86 lelaki dewasa, 31 wanita dewasa dan seorang kanak-kanak lelaki itu dihantar pulang menerusi feri yang bertolak dari Kompleks Pemeriksaan Kastam dan Imigresen, di sini. "Tindakan menghantar pulang Pati ini adalah kali ke-20 dilakukan sejak Januari tahun ini dan penghantaran terakhir sebelum Aidilfitri," katanya dalam kenyataan pada Sabtu. Asparinah berkata mereka adalah Pati yang ditahan dalam operasi bersepadu dijalankan jabatan imigresen selain serahan daripada pihak polis dan mereka yang tinggal melebihi tempoh masa ditetapkan. Kesalahan dilakukan Pati terbabit adalah di bawah Seksyen 6(1)(c) iaitu tidak memiliki dokumen perjalanan sah dan Seksyen 15 (1)(c) iaitu tinggal melebihi had ditetapkan. -Bernama