BUTTERWORTH: Dua remaja maut manakala dua lagi parah selepas tiga motosikal yang dinaiki mereka terlibat dalam kemalangan di Permatang Sungai Dua di sini tengah malam tadi. Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, ACP Azmi Adam berkata dalam kemalangan 12.10 tengah malam itu, Badrul Amin Shaharudin, 19, yang datang dari arah Permatang Buluh menghala Sungai Dua meninggal di tempat kejadian selepas motosikalnya bertembung dengan sebuah motosikal yang datang dari arah bertentangan. "Dalam masa sama, sebuah lagi motosikal yang dinaiki dua lelaki yang berada di belakang motosikal Badrul Amin tidak sempat mengelak sebelum turut terlibat dalam kemalangan itu. "Pembonceng motosikal ketiga iaitu Mohd Amirul Hanis Shamsudin, 19, maut di tempat kejadian akibat parah di kepala selepas terpelanting beberapa meter manakala rakannya yang berusia 19 tahun cedera parah," katanya di sini, Ahad. Katanya penunggang motosikal yang juga berusia 19 tahun yang bertembung dengan motosikal Badrul Amin turut cedera parah. Azmi berkata mayat dua remaja lelaki itu dihantar ke Hospital Seberang Jaya untuk bedah siasat manakala dua lagi yang cedera turut dirawat di hospital sama. "Kemalangan itu disiasat menurut Seksyen Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya. Sementara itu, seorang anggota keluarga Badrul Amin iaitu Mohd Azhar Mirza, 22, berkata sepupunya dalam perjalanan ke gelanggang futsal di Sungai Dua selepas selesai bersolat Tarawih di sebuah masjid di Kepala Batas. "Arwah memang selalu keluar bermain futsal dengan rakan-rakannya dan semalam dia keluar seperti biasa sebelum kami dihubungi polis memaklumkan mengenai kemalangan itu. "Ibunya sangat sedih dengan kejadian itu, tambahan pula hari raya sudah dekat," katanya.