KUALA LUMPUR: Hubungan 'panas' di antara PAS dan Umno dianggap petanda awal Kedah bakal dilepaskan kepada parti Islam itu, jelas Datuk Seri Mukhriz Mahathir. "Pada masa sekarang, kelihatan seolah-olah Umno bersedia untuk menyerahkan Kedah, Kelantan dan Terengganu kembali kepada PAS. "Mesti ada perjanjian. Mereka cuba membawa PAS dan Umno bersama. Pasti juga ada pertukaran untuk PAS. Saya lihat Kelantan, Terengganu dan Kedah kembali kepada PAS," jelas bekas Menteri Besar Kedah itu ketika sidang media di Pusat Alumni Universiti Malaya pada Ahad. Ditanya sama ada beliau merasakan ini akan membawa kepada sebuah kerajaan perpaduan bagi negeri-negeri, Mukhriz berkata ia akan menjadi seperti 'menyerah sepenuhnya'. "Pada pendapat saya, ia bukan satu kerajaan perpaduan, saya rasa semua akan diserahkan sepenuhnya kepada mereka (PAS)," katanya. Sebelum ini Mukhriz berkata, jika beliau benar-benar ingin menjatuhkan kerajaan, sudah tentu beliau akan meminta Dewan Undangan Negeri Kedah dibubarkan. "Saya akan meminta Dewan Undangan Negeri dibubarkan ketika saya masih menjadi MB. Dari situ akan berlaku pilihan raya negeri dan Barisan akan tewas. "Tetapi saya tidak berbuat demikian, namun saya tetap pengkhianat," jelas Ahli Dewan Undangan Negeri Ayer Hitam itu.