KUALA TERENGGANU: Umno Terengganu menafikan sekeras-kerasnya dakwaan bekas Menteri Besar Kedah Datuk Seri Mukhriz Tun Dr Mahathir kononnya ada perjanjian Terengganu akan diserahkan kepada PAS pada pilihan raya umum akan datang. Menteri Besar Ahmad Razif Abdul Rahman berkata semua itu hanyalah andaian dan imaginasi Mukhriz yang merupakan spekulasi jahat yang tidak bersandarkan kebenaran sebaliknya bertujuan menimbulkan keresahan dalam parti. Pengerusi Badan Perhubungan Umno negeri itu berkata, kini anggota Umno sudah cukup matang dan spekulasi liar itu tidak mampu menggugat perpaduan dalam parti sebagaimana telah dibuktikan apabila Majlis Tertinggi membuat keputusan sebulat suara memecat Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Mukhriz. "Umno Terengganu yakin parti ini bukan sahaja akan kekal sebagai kerajaan negeri pada pilihan raya umum ke-14 nanti tetapi bakal memperoleh undi majoriti lebih besar hasil gerak kerja yang telahpun digerakkan. "Sehubungan itu saya meminta Mukhriz dan semua pihak agar tidak sesekali menjadikan Terengganu sebagai modal politik untuk kepentingan peribadi," katanya dalam kenyataan di sini Isnin. Pada Ahad dalam satu majlis di ibu negara, Muhkriz mendakwa beliau mengesyaki terdapat perjanjian Umno-PAS membabitkan 'pertukaran' yang melibatkan Kedah, Terengganu dan Kelantan. - BERNAMA