KUALA LUMPUR: Timbalan Presiden MIC, Datuk Seri S.K Devamany pada Isnin mengangkat sumpah sebagai Anggota Dewan Negara di hadapan Yang Dipertua Dewan Negara, Datuk S.A. Vigneswaran. Devamany, 59, bekas Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak, dilantik sebagai Senator susulan pelantikannya sebagai timbalan menteri di Jabatan Perdana Menteri dalam rombakan Kabinet hari ini. "Yang Dipertua Dewan Negara mengucapkan tahniah kepada beliau dan berharap beliau dapat menjalankan peranan sebagai Senator dengan sebaiknya," menurut kenyataan Bahagian Komunikasi Korporat, Parlimen Malaysia. Devamany pernah menyandang jawatan sama di Jabatan Perdana Menteri dari 2008 hingga 2013. Beliau merupakan bekas Anggota Parlimen Cameron Highlands untuk dua penggal pada 2004 dan 2008 sebelum tewas bagi kerusi Parlimen Sungai Siput pada Pilihan Raya Umum ke-13, pada 2013.