suria

Kanak-Kanak Perempuan Maut Jatuh Dari Balkoni

KUALA LUMPUR: Seorang kanak-kanak perempuan berusia enam tahun maut selepas terjatuh dari tingkat tiga rumahnya di sebuah perumahan awam di Bandar Baru Sentul di sini, lewat malam Isnin.

Ketua Polis Daerah Sentul, ACP R. Munusamy yang mengesahkan kejadian itu berkata siasatan awal mendapati mangsa telah memanjat balkoni di bahagian belakang rumah dengan memanjat bakul pakaian tempat jemur kain sebelum terjatuh.

"Mangsa meninggal dunia serta-merta di tempat kejadian kerana cedera parah di kepala dan dihantar ke Hospital Kuala Lumpur untuk dibedah siasat.

"Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut," katanya di sini, Selasa.

Cubaan Bernama untuk mendapatkan komen daripada ibu bapa kanak-kanak tersebut bagaimanapun gagal kerana mereka enggan ditemu bual kerana masih terkejut dengan kejadian itu.

Dalam pada itu, seorang saksi yang dikenali sebagai Safwan, 21, berkata dia yang mendengar bunyi 'sesuatu' jatuh menyangkakan ada barang jatuh dari tingkat atas, tapi sangkaannya meleset apabila melihat seorang budak perempuan terbaring di kaki lima.

"Pada masa itu, saya dan tunang sedang berbual bersama rakannya di taman permainan berhampiran tempat kejadian. Selepas melihat kejadian itu, saya bersama rakan-rakan bertindak mengejutkan penghuni blok itu dan menghubungi ambulans," katanya kepada Bernama.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain