KUALA LUMPUR: Mohd Saiful Zaman, anak yatim daripada Pertubuhan Kebajikan Baitul Kasih di sini, begitu teruja kerana diberi peluang memilih sendiri kasut Raya untuk menyambut Aidilfitri bersama rakan-rakan seasrama. Dia memilih sepasang sandal putih untuk dipakai dengan baju Melayu putih. Mohd Saiful, 11, adalah antara 40 penghuni rumah anak yatim Pertubuhan Kebajikan Baitul Kasih di Taman Seri Keramat yang diundang memilih dan membeli kasut Raya serta menerima duit Raya sempena Syawal yang menjelang tiba daripada Persatuan Suri dan Anggota Wanita Bernama (Benita). Pengerusi Benita Datin Rohana Mustaffa berkata sumbangan kasut Raya itu diberi di bawah program yang dinamakan 'Sepatu Raya Untuk Si Anak Yatim' yang diadakan setiap Ramadan sejak tujuh tahun lalu. Program ini menerima sambutan amat menggalakkan daripada warga Bernama, dengan jumlah penyumbang bertambah dari tahun ke tahun, katanya ketika membawa anak-anak yatim itu membeli kasut Raya mereka di kedai kasut Bata di Jalan Tuanku Abdul Rahman di sini. "Seperti tahun-tahun sebelumnya, Benita mengambil pendekatan menumpukan kepada pemberian kasut Raya kepada rumah anak yatim di pinggir bandar yang kurang mendapat perhatian," katanya. Datin Rohana berkata program Benita itu turut mendapat kerjasama syarikat Bata Malaysia Sdn Bhd yang menawarkan diskaun istimewa untuk setiap pembelian kasut dan stokin. Pengurus Besar Bernama Datuk Zulkefli Salleh hadir sama menggalakkan anak-anak yatim itu memilih dan membeli kasut kegemaran masing-masing. Zulkefli yang juga Penasihat Benita, berkata beliau menyokong penuh usaha persatuan itu, dalam menjalankan program tanggungjawab sosial ini untuk membantu golongan kurang bernasib baik. Pengurus Kanan Bata Datuk James Selvaraj yang turut hadir berkata ini tahun keempat syarikat itu bekerjasama dengan Benita, menjadi tuan rumah kepada program ini, meraikan anak-anak yatim membeli kasut Raya mereka. Melalui program CSR ini, Bata menawarkan potongan 30 peratus bagi setiap pembelian sepasang kasut, katanya. "Kita puas hati dapat tengok kanak-kanak ini gembira memilih kasut baharu," katanya. Sementara itu, penyelia rumah anak yatim tersebut ustaz Zahari Alwi berkata ini kali pertama penghuni rumah itu berpeluang dibawa memilih dan membeli kasut Raya mereka. "Saya amat berharap bantuan dapat terus disalurkan ke Pertubuhan Kebajikan Baitul Kasih yang memerlukan sumbangan seperti bantuan persekolahan, Hari Raya dan juga keperluan harian," katanya.