suria

SPRM Melaka Tahan Tiga Pegawai Jabatan Muzium Kes Tuntutan Palsu

MELAKA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Melaka menahan tiga pegawai Jabatan Muzium Malaysia dan seorang pengurus syarikat bagi membantu siasatan kes mengemukakan tuntutan mengandungi butiran palsu melibatkan ketirisan wang kerajaan sekurang-kurangnya RM700,000.

Menurut sumber di sini pada Selasa, mereka terdiri tiga lelaki dan seorang wanita berumur antara 30 dan 50 tahun, ditahan di negeri ini antara pukul 10 pagi hingga 12.30 tengah hari, Isnin.

"Hasil siasatan mendapati mereka ini telah mengemukakan dokumen mengandungi butir matan palsu melalui beberapa pesanan-pesanan kerajaan kepada Jabatan Muzium Malaysia di Perak, Negeri Sembilan dan Melaka.

"Walhal kerja-kerja yang dimaksudkan tidak dilaksana dan tidak mengikut spesifikasi yang ditetapkan. Siasatan setakat ini menunjukkan ketirisan wang kerajaaan sekurang-kurangnya RM700,000.00 dalam tempoh dari tahun 2013 sehingga 2015," katanya.

Menurut sumber itu, mereka telah dilepaskan dengan ikat jamin SPRM pada lewat petang semalam.

Pengarah SPRM Melaka Datuk Azmi Alias ketika dihubungi mengesahkan penahanan itu namun enggan mengulas lanjut.

Siasatan kes itu dijalankan mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009 dan jika sabit kesalahan boleh dihukum denda lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mana yang tinggi dan penjara tidak melebihi 20 tahun.

SPRM, Tuntutan Palsu, Jabatan Muzium

Artikel Sebelum

Artikel Lain