suria

Koperal Polis Marin Didakwa Terima Suapan RM200

BUTTERWORTH: Seorang anggota polis marin mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini atas tuduhan menerima suapan wang tunai berjumlah RM200 tahun lalu.

Koperal Norhazeni Ahmad, 38, membuat pengakuan itu di hadapan Hakim Roslan Hamid selepas pertuduhan dibacakan ke atasnya.

Dia didakwa memperoleh suapan RM200 sebagai dorongan untuk tidak mengambil tindakan terhadap seorang lelaki yang melakukan kesalahan mengutip kepah menggunakan tangguk bergalah atau kor bergalah tanpa lesen, di kawasan gerai makanan berhampiran bulatan Queensbay Mall, Bayan Lepas dekat sini pada 26 Mei 2015 pukul 10.20 malam.

Norhazeni yang bertugas di Markas Pasukan Polis Marin Wilayah 1, Batu Uban, didakwa mengikut Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), yang jika sabit kesalahan boleh dipenjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, yang mana lebih tinggi.

Timbalan Pendakwa Raya SPRM Amin Yaacub menawarkan jaminan RM10,000 dan hakim membenarkan jumlah jaminan itu dengan seorang penjamin.

Tarikh sebutan semula kes ditetapkan 29 Ogos ini untuk serahan dokumen  serta tertuduh melantik peguam. -- Bernama

polis marin, rasuah, Queensbay Mall

Artikel Lain