suria

Umno Fail Permohonan Batal Saman Anina

Anina Saaduddin
KUALA LUMPUR: Umno memfailkan permohonan untuk membatalkan saman pemula bekas ahli Wanita Umno Bahagian Langkawi, Anina Saaduddin yang mencabar Seksyen 18C Akta Pertubuhan 1966 iaitu keputusan mana-mana parti tidak boleh dibawa ke mahkamah.

Setiausaha Agung Umno Tengku Adnan Tengku Mansor dan Setiausaha Kerja Umno Datuk Ab Rauf Yusoh memfailkan permohonan itu pada 21 Jun lepas di pejabat pendaftar Mahkamah Tinggi Sivil di sini atas alasan saman itu tidak mendedahkan kausa tindakan yang munasabah terhadap mereka.

Saman itu juga dikatakan mengaibkan, remeh atau menyusahkan dan juga menyalahgunakan proses mahkamah.

Peguam Nor Hazira Abu Haiyan yang mewakili Tengku Adnan dan Ab Rauf memberitahu media hari ini bahawa mahkamah menetapkan 15 Julai ini untuk pengurusan kes.

Pada 3 Jun lepas Anina memfailkan saman pemula itu bagi mendapatkan pengisytiharan Seksyen 18C Akta Pertubuhan itu sebagai tidak sah dan terbatal dan bercanggah dengan Perkara 5 Perlembagaan Persekutuan iaitu kebebasan diri dan Perkara 8 iaitu kesamarataan di sisi undang-undang.

Anina menamakan kerajaan Malaysia, Tengku Adnan dan Ab Rauf dalam kapasitinya sebagai pegawai awam Umno sebagai defendan pertama hingga ketiga.

Katanya oleh itu Fasal 20.7 Perlembagaan Umno iaitu mana-mana ahli yang membawa perkara parti atau keahliannya ke mahkamah tanpa mematuhi sepenuhnya peraturan parti akan digugurkan keahlian, adalah tidak sah dan terbatal kerana melanggar Perkara 5 dan 8.

Oleh itu Anina mendakwa pemecatan keahliannya di dalam Umno adalah tidak sah dan terbatal.

Artikel Lain