IPOH: Dua maut selepas sebuah bas ekspres terbabas sebelum melanggar pembahagi jalan di Kilometer (KM) 194.9 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) berhampiran Bukit Merah di sini, petang Jumaat. Kemalangan berlaku apabila bas tersebut cuba mengelak tayar di lorong bersebelahan. Pemandu bas itu hilang kawalan lalu merempuh pembahagi jalan kira-kira pukul 5.45 petang. Bas tersebut membawa 38 penumpang, kata Ketua Polis Daerah Kerian, Superintendan Omar Bakhtiar Yaacob. Menurut laporan awal, seorang wanita yang duduk di bahagian hadapan tercampak keluar dari bas semasa kemalangan itu. Mangsa meninggal dunia di tempat kejadian. Pemandu bas, Zulkifli Mohd Yusof dari Kuala Lumpur dibawa ke klinik Gunung Semanggol sebelum disahkan meninggal dunia di klinik tersebut. "Kami masih menunggu maklumat lanjut mengenai kejadian itu. Namun setakat yang kita tahu dua mangsa maut dalam kemalangan tersebut. "Buat masa ini, kami masih menyiasat dan menunggu laporan penuh," katanya.