Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Jaafar Mohd Yusof berkata tujuh lelaki terbabit yang berusia antara 28 dan 42 tahun itu ditahan selepas mendapat maklumat mengenai pembabitan aktif pengedaran dadah di situ.
"Suspek yang berasal dari Johor, Selangor, Perak, Kedah dan Melaka itu ditahan Rabu lepas untuk siasatan selama 60 hari mengikut Seksyen 3(1) Akta Dadah Berbahaya (Langkah-Langkah Pencegahan Khas) 1985.
"Mereka dimasukkan ke Puspen Jelebu, tahun lepas. Semua lelaki terbabit mempunyai rekod lampau berkaitan kesalahan dadah merangkumi penagihan, pemilikan dan pengedaran," katanya dalam kenyataan di sini, Jumaat.
Ekoran penangkapan itu, katanya polis berjaya menumpaskan kegiatan pengedaran dadah kumpulan terbabit di Puspen.
Sementara itu, katanya program rawatan dan pemulihan sedia ada kurang berkesan untuk menangani masalah penagihan dadah terutama di negeri ini.
Beliau berkata seramai 1,897 atau 64 peratus daripada 3,006 penagih yang ditangkap sejak Januari lepas adalah penagih berulang manakala 1,109 (36 peratus) adalah penagih baharu.