KUALA LUMPUR: Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak membidas posting dalam blog bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad pada Sabtu yang memberikan gambaran bahawa Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng sebenarnya ditangkap dan didakwa kerana mengkritik Datuk Seri Najib Tun Razak. Menteri Komunikasi dan Multimedia itu berkata posting dalam blog Mahathir itu juga senada dengan laporan Wall Street Journal (WSJ) berhubung penangkapan Lim dan didakwa atas pertuduhan rasuah. "Mahathir menyatakan bahawa orang ditangkap atau dipecat dari parti kerana menghina orang lain atau untuk menggelar orang lain dengan bermacam gelaran yang teruk. "Tentu Mahathir tidak serius dengan mencadangkan sebagai contoh, jika seseorang berkata umat Islam mengikuti agama syaitan (seperti apa yang mereka katakan di sesetengah negara) itu bukan jenayah dan tiada tindakan harus diambil," kata Salleh menerusi posting dalam blog beliau, sskeruak.blogspot.my,Sabtu. Mahathir dalam posting terbaharu beliau dalam blog melemparkan beberapatuduhan terhadap kerajaan dan para pemimpin negara. Salleh menjelaskan bahawa Mahathir juga seolah-olah tidak faham makna perkataan "mengkritik". "Menggelar seseorang anjing atau babi tidak boleh diklasifikasikan sebagai mengkritik. Kita juga mempunyai undang-undang berhubung libel dan fitnah yang mentakrifkan sebagai jenayah untuk mendakwa sesuatu terhadap seseorang dengan dakwaan yang tidak benar," kata beliau. Beliau berkata dalam politik, seseorang tidak harus hilang nilai-nilai kesopanan, kebenaran dan kesahihan daripada segi undang-undang mengenai apa yang mereka lakukan. Pada 30 Jun, Lim mengaku tidak bersalah terhadap dua pertuduhan rasuah berhubung penukaran status tanah daripada tanah pertanian kepada tanah kediaman serta pembelian sebidang tanah dan banglo di bawah harga pasaran. Mahkamah Tinggi George Town, Pulau Pinang membenarkan Lim diikat hamin RM1juta dengan seorang penjamin dan juga membenarkan beliau menyimpan pasportnya. -Bernama