KUCHING: Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Adenan Satem dijangka menemui Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada Isnin bagi membincangkan pelbagai perkara berkaitan proses penurunan kuasa negeri berkenaan. Pertemuan yang akan berlangsung di Putrajaya itu juga akan menyentuh hal berkaitan laporan Jawatankuasa Antara Kerajaan dan cadangan Perjanjian Malaysia 1963, Akta Malaysia dan laporan Suruhanjaya Cobbold. Demikian seperti dinyatakan dalam kenyataan yang dikeluarkan pejabat Ketua Menteri berkenaan pada Ahad. Adenan akan mengemukakan dua memorandum berhubung kedudukan kerajaan negeri itu berkaitan penurunan kuasa kepada perdana menteri. Perkara sama telah dibentangkan pada sidang Dewan Undangan Negeri Sarawak bulan lalu. Baru-baru ini, Adenan berkata, perbincangan berkaitan penurunan kuasa itu perlu dilaksanakan serta merta berikutan maklum balas baik kerajaan Pusat kepada permohonan Sarawak supaya dokumen bersejarah tertentu dipertimbangkan untuk ditadbir dan diuruskan kerajaan negeri. Menyambut baik kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Nancy Shukri berhubung perkara itu, Adenan berkata, ia bermakna adanya maklum balas kerajaan Pusat berkaitan permohonan Sarawak itu. "Saya menyambut baik pendekatan yang diambil dan perbincangan segera perlu dilaksanakan. Ia akan mengambil masa kerana prosesnya agak rumit tetapi ia akan dimulakan dalam masa terdekat," katanya.