MAKKAH: Hanya tinggal dua hari saja lagi umat Islam akan menyambut Aidilfitri namun Tanah Suci Makkah terus rancak dengan ibadat dan sedekah. Malam 29 iaitu malam tadi sekali lagi menjadikan Masjidil Haram tumpuan umat Islam untuk beribadat pada penghujung Ramadan.Malam tadi juga adalah malam khatam Al-Quran, sekali gus menandakan tamatnya bulan penuh keberkatan yang menjanjikan ganjaran berlipat ganda. Sedekah makanan dan minuman berterusan biarpun tidak semeriah pada malam 27 pada Jumaat lalu. Jika di Malaysia ramai yang mula pulang ke kampung untuk lebaran tetapi di Tanah Suci umpama tiada sebarang persiapan Aidilfitri. Menurut Pengarah Urusan TM Tours and Travel, Mohd Ridzwan Abdullah, Aidilfitri di Tanah Suci tidak semeriah di Malaysia. Beliau berkata, selepas solat sunat Aidilfitri diMasjidil Haram, umat Islam saling bersalaman dan bermaafan. Mohd Ridzwan Abdullah "Jika ada saudara mara atau kenalan, jemaah yang menunaikan ibadat umrah akan mengambil kesempatan berkunjung ke rumah mereka dan jika tiada, aktiviti seperti biasa iaitu bersolat di masjid, berziarah di tempat bersejarah dan berehat di bilik penginapan," katanya yang turut mengerjakan umrah pada akhir Ramadan. Beliau yang turut ditemani isteri, Naaimah Abdullah pernah menyambut Aidilfitri di Tanah Suci beberapa kali.Penulis sempat meninjau pusat beli belah di sekitar Masjidil Haram dan ternyata kerancakan berbelanja tidak sehebat di Malaysia. Ini kerana warga tempatan lebih memberi tumpuan pada amal ibadat dan usaha menghidupkan malam sepanjang Ramadan.