suria

Keputusan Shafie Tinggalkan Umno Bukan Kejutan - Salleh

Salleh Said Keruak.

KOTA KINABALU: Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak berkata, keputusan bekas naib presiden Umno, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal meninggalkan parti berkenaan tidak memeranjatkan kerana ura-ura mengenainya sudah lama tersebar dalam kalangan anggota Umno.

Salleh yang juga Timbalan Pengerusi Perhubungan Umno Sabah berkata, hak meninggalkan parti itu adalah hak Mohd Shafie sendiri.

"Tindakan beliau itu sama-sekali tidak menjejaskan kekuatan UMNO Sabah kerana majoriti ahli parti menyokong perjuangan parti, dan bukannya individu.

Umno Sabah tetap mendokong kepimpinan parti di bawah Presiden dan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak serta Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Musa Aman di peringkat negeri Sabah," katanya kepada Bernama di sini, Isnin.

Salleh berkata demikian sebagai mengulas pengumuman Mohd Shafie meninggalkan Umno pada Isnin. 

Mohd Shafie membuat pengumuman berkenaan ketika menghadiri majlis Rakyat Bersama Anggota Parlimen Semporna, di Semporna pada Isnin.

Menurut Salleh, setiap anggota Umno perlu akur dan patuh kepada sistem parti dan beliau (Shafie) sudah tidak sehaluan dengan sistem parti, maka adalah wajar dan lebih baik beliau meninggalkan parti.

"Yang penting sekarang adalah solidariti parti. Ahli-ahli perlu terus bersatu menghadapi cabaran lebih besar membawa Malaysia ke ambang negara maju," katanya. - Bernama

Artikel Lain