PETALING JAYA: “Jika dibandingkan dengan dulu, saya rasa Aidilfitri sekarang lebih meriah,” kata bekas personaliti TV3, Norjuma Habib Mohamed. Anak kelahiran Pulau Mutiara ini berkata, kesibukannya dalam menguruskan keluarga dan perniagaan sejak awal Ramadan sehingga menjelang Syawal tidak dirasakan sebagai bebanan, sebaliknya memberi kepuasan buat dirinya. “Saya rasa puas hati apabila dapat gembirakan keluarga dan anak-anak serta mereka yang rapat dengan saya. “Kalau dulu saya hanya fikir tentang diri sendiri, tapi sekarang sejak berkeluarga saya perlu buat perancangan teliti seawal Ramadan untuk beri yang terbaik kepada semua orang. Bila semua orang gembira, itulah ‘kemeriahan’ raya buat diri saya,” katanya kepada mStar Online. Pengasas tudung Bawal Aidijuma ini berkata seminggu sebelum umat Islam menyambut 1 Syawal, beliau sudah siap membuat persiapan termasuklah menyusun aturcara untuk keluarganya. Tambah wanita berusia 36 tahun ini, beliau akan memastikan daripada sekecil-kecil persiapan sehinggalah ke persiapan utama dibuat dengan teliti supaya Aidilfitri dapat disambut tanpa timbul masalah di saat-saat akhir. “Saya ni jenis orang yang ‘tersusun’ sebab tu saya rancang betul-betul. Baju, tudung, makanan, trip raya, rumah terbuka, malah sampul duit raya berbeza warna mengikut umur pun saya ambil kira. “Ramai yang tak sedar benda-benda kecil inilah yang akan menjadi detik-detik indah Aidilfitri,” katanya. Ibu kepada tiga anak lelaki ini berkata, seperti tahun-tahun sebelum ini, beliau sekeluarga akan mengadakan rumah terbuka di Kuala Lumpur pada hari raya pertama dengan menjemput anak-anak yatim sebelum terbang bercuti di luar negara pada hari raya kedua. “Bagi saya tak penting di mana kita beraya, yang penting dengan siapa. “Keluarga saya begitu penting pada hari raya dan tahun ini lebih meriah sebab adik saya yang belajar di United Kingdom beraya bersama,” katanya. Norjuma berkata, beliau bernasib baik kerana tiga anaknya, Aqil Razak, 10, Arif Razak, 8, dan Ariz Razak, 6, tidak cerewet dalam membuat persiapan menjelang raya. Bagaimanapun Norjuma berkata, sebagai ibu beliau perlu memastikan anak-anaknya dapat melatih diri menunaikan kewajipan sebagai umat Islam dengan berpuasa di bulan Ramadan. “Anak saya semua lelaki, makna raya bagi mereka hanyalah bunga api. Itulah keseronokan mereka, bukan duit raya, bukan baju raya. “Disebabkan itu yang boleh buatkan mereka gembira, saya bagi upah bunga api atau mercun ‘pop’ jika mereka dapat puasa penuh,” katanya sambil ketawa mengenangkan keletah anak-anaknya. Mengenai juadah hari raya, Norjuma berkata, sudah menjadi tradisi beliau dan keluarga yang akan menikmati nasi tomato yang dimasak oleh ibunya pada pagi raya. Namun, bagi juadah sampingan beliau akan pastikan kuih popia simpul dan ‘Nutella Ball’ yang ditempah dari Brunei berada dalam salah satu balang biskut raya di rumahnya. Katanya lagi, beliau dan adik-beradik perempuannya juga suka mencuba sesuatu yang baharu setiap kali menyambut kedatangan Aidilfitri. “Tahun lepas kami cuba-cuba buat ‘butter cake’. Tahun ini kami jahit manik pada tudung ikut kreativiti masing-masing,” katanya sambil mengimbau kenangan bersama keluarganya.