Presiden KTMB, Lt Kol(B) Datuk Sarbini Tijan berkata penambahan itu bermakna setiap hari ada 14 perjalanan terus pergi dan 14 perjalanan balik dari kedua-dua destinasi.
"Mulai 1 Julai lepas juga pengguna dibenarkan membawa basikal dalam komuter tanpa caj tambahan. Ini antara usaha KTMB merakyatkan perkhidmatannya seperti saranan Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Razak," katanya kepada Bernama di sini.
Sarbini berkata kemudahan itu juga untuk memenuhi kehendak perdana menteri agar pengguna di koridor utara menikmati kemudahan sama seperti pengguna di Lembah Kelang.
Beliau berkata perkhidmatan itu menggunakan tiga koc set keretapi eletrik yang telah ditambah baik dengan kapasiti 400 orang dan hampir penuh setiap perjalanan.
Menurut Sarbini pengguna lebih memilih mengguna komuter berbanding bas kerana tambang murah iaitu RM11.40 sahaja dari Butterworth ke Padang Besar selain selamat, cepat (satu jam 30 minit) dan selesa.
"KTMB akan terus memperkasa dengan menambah baik perkhidmatan komuter demi kemudahan pengguna di koridor utara dari masa ke semasa," katanya dan menambah antaranya menyediakan bas pengantara di semua stesyen komuter bermula 15 Jun lepas.
Katanya bas-bas pengantara di stesyen besar seperti Arau, Alor Setar, Sungai Petani, Bukit Mertajam, Bukit Tengah, Butterworth, Simpang Empat, Nibong Tebal, Parit Buntar, Bagan Serai, Kamunting, Taiping dan Ipoh menyediakan perkhidmatan ke pekan dan bandar-bandar utama setiap negeri.
"Orang ramai boleh meninggalkan kereta mereka di rumah dan mereka yang membawanya tidak perlu bimbang keselamatan kenderaan mereka yang diletakkan di tempat letak kenderaan di stesyen-stesyen ini," kata Sarbini.