JOHOR BAHRU: Seorang warga Filipina berusia 39 tahun patah kaki selepas kereta dinaiki terlanggar papan tanda tunjuk arah berdekatan Horizon Hills, Iskandar Puteri di sini pada Jumaat. Kereta Proton Satria yang dipandu Corleon Torralba itu dikatakan hilang arah sebelum terlanggar tiang berdekatan Jalan Persiaran Timur. Ketua Operasi Bomba dan Penyelamat, Mohd Farid Mohammad Sukhairi berkata, pihaknya menerima maklumat kemalangan tersebut kira-kira pukul 9.30 pagi Jumaat. "Mangsa tersepit di tempat duduk pemandu. Kami berjaya keluarkan mangsa dan terus menghantarnya ke Hospital Sultanah Aminah untuk dapatkan rawatan. "Tiada penumpang lain di dalam kereta itu," kata Mohd Farid dalam satu kenyataan.