KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) menolak senarai lokasi yang dikatakan menjadi sasaran militan di sekitar Petaling Jaya dan Kuala Lumpur seperti yang menjadi viral di media sosial. Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata senarai tersebut tidak dikeluarkan oleh pihak polis. "Yakinlah bahawa kami sedang memantau beberapa lokasi yang menjadi sasaran. "Saya sudah maklumkan pada Hari Raya lalu yang kami tidak perlu mendedahkan bagaimana pihak kami meningkatkan kawalan di lokasi-lokasi berkenaan," katanya pada Jumaat. Antara lokasi yang dikatakan menjadi sasaran kumpulan militan termasuklah KLCC, Bukit Bintang, Publika, Solaris, Hartamas, Bangsar dan The Curve di Petaling Jaya. Senarai tersebut turut mengandungi mesej: "Kerajaan Malaysia mengesahkan kawasan berkenaan akan menjadi lokasi serangan ISIS (IS). Mohon anda kongsi mesej ini dan mungkin boleh menyelamatkan nyawa. "Sila jauhi kawasan KLCC, Pavilion, kawasan Beach Club, Jalan Alor dan Jalan Petaling. Ia menjadi sasaran serangan bom seterusnya berdasarkan risikan bahagian Cawangan Khas."