KUALA LUMPUR: Aliran trafik di beberapa lebuh raya utama dilaporkan perlahan setakat pukul 11 malam ini berikutan peningkatan jumlah kenderaan. Jurucakap Plus Malaysia Berhad ketika dihubungi Bernama berkata di utara, trafik bergerak perlahan dari Sungai Petani Selatan menuju ke Bertam. "Trafik juga dilaporkan perlahan dari Port Dickson menuju ke arah Seremban berikutan jumlah trafik yang tinggi," katanya. Sementara itu, jurucakap Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) berkata trafik juga perlahan di sepanjang dua kilometer menghampiri plaza tol Gombak. "Keadaan yang sama juga dilaporkan dari Taiping ke Changkat Jering, Kuala Kangsar ke Perhentian Rehat dan Rawat Sungai Perak, Menora ke Gopeng dan Sungkai menuju ke Trolak," katanya. Orang ramai boleh mendapatkan maklumat trafik terkini menerusi talian bebas tol Plusline di 1800-88-0000 dan laman Twitter di www.twitter.com/plustrafik atau talian LLM di 1800-88-7752 serta laman Twitter di www.twitter.com/llminfotrafik.