KUALA LUMPUR: Aliran trafik di beberapa lebuh raya utama dilaporkan perlahan setakat pukul 12 tengah hari ini berikutan peningkatan jumlah kenderaan. Jurucakap PLUS Malaysia Berhad berkata trafik perlahan di Changkat Jering ke kawasan mendaki Bukit Berapit dan Sungai Perak menuju Terowong Menora. "Trafik juga dilaporkan perlahan dari Permatang Pauh ke Perai disebabkan jumlah kenderaan yang tinggi," katanya. Sementara itu, Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) berkata trafik perlahan di sekitar Plaza Tol Karak di kedua-dua arah, Plaza Tol Bentong ke Bukit Tinggi dan Plaza Tol Gombak ke MRR2. "Selain itu, trafik juga mulai sibuk di sekitar Plaza Tol Kuala Terengganu ke Kuantan manakala lokasi lain di Lebuhraya Pantai Timur 2 masih lancar," katanya. Orang ramai boleh mendapatkan maklumat trafik terkini menerusi talian bebas tol Plusline di 1800-88-0000 dan laman Twitter di www.twitter.com/plustrafik atau talian LLM di 1800-88-7752 serta laman Twitter di www.twitter.com/llminfotrafik.