SEREMBAN: Rumah teres dua tingkat yang disewa kira-kira 10 penuntut Universiti Sains Islam Malaysia (Usim) di Taman Desa Anggerik dekat sini, musnah dalam kebakaran petang tadi. Pegawai Operasi dari Bomba dan Penyelamat Nilai, Pegawai Bomba Kanan II Mohd Anwar Awang @ Mustafa berkata bomba menerima panggilan kira-kira pukul 4.39 petang dan tiba di lokasi lima minit kemudian. "Semasa bomba tiba, api sedang marak dan bomba mengambil masa kira-kira 10 minit untuk mengawal kebakaran. "Kebakaran menyebabkan rumah musnah 80 peratus yang melibatkan bahagian struktur dan perkakas di dalam rumah serta pendawaian," katanya ketika dihubungi Bernama di sini. Katanya bagaimanapun tiada kemalangan jiwa dilaporkan berikutan tiada pelajar di dalam rumah kerana mereka pulang ke kampung berhari raya. "Punca kebakaran serta anggaran kerugian masih dalam siasatan," katanya.