suria

India Selatan Mengagumkan

APABILA mendapat tugasan ke luar negara, kadangkala kita berhasrat untuk mengunjunginya semula. Justeru, apabila memperoleh peluang untuk berkunjung ke India baru-baru ini, saya tidak sekali-kali melepaskannya walaupun pernah ke negara berkenaan.

Saya tidak jemu ke India kerana tekstil menarik, hiasan cantik, makanan halal mudah diperoleh dan paling penting barangan ditawarkan murah apatah lagi kadar mata wang kita tinggi berbanding negara terbabit.

Saya pernah bercuti salama dua minggu ke Delhi, Agra dan Jaipur pada Oktober 1993 manakala pada 2004, saya ke Bangalore atas tugasan sebagai wartawan di Berita Harian. Namun, pada 21 Februari hingga 2 Mac lalu, saya ditugaskan mewakili Farhan Travel & Tours untuk menjelajah ke India Selatan.

Ramai suka bertanya mengenai India yang dianggap kurang sesuai dikunjungi kerana cuaca panas, berhabuk, kurang bersih, makan minum sukar diperoleh dan keselamatan kurang terjamin. Benarkah begitu?

Jika hendak melancong ke India, pilihlah waktu atau bulan bersesuaian. Jika mahu selesa dan tidak panas, rancang kunjungan ke India pada hujung tahun ataupun awal tahun. Elak ke India pada pertengahan tahun kerana cuaca panas boleh mengehad dan menjejaskan lawatan anda.

Dari segi kebersihan pula, India semakin bersih. Jika suatu ketika dahulu, boleh lihat sampah di merata-rata tempat, namun sekarang, kebersihan mula terpelihara, mungkin tahap kesedaran masyarakat di sana terhadap kebersihan semakin meningkat.

Makan minum usah diragui. Ia sesuai citarasa dan selera, terutama jika berkunjung ke India Selatan. Sebaik-baiknya ambil air mineral sepanjang di India untuk memastikan perut anda tidak meragam sehingga membataskan aktiviti serta pergerakan.

Dari segi keselamatan pula, usah terlalu gusar kerana sudah tentu anda tidak bersendirian untuk berbelanja atau melihat keindahan sekeliling. Sudah tentu anda berkunjung ke India secara berkumpulan, jadi, pastikan ke mana-mana sahaja biarlah berteman.

Ketika berkunjung ke India baru-baru ini, hati saya amat tertarik dengan dua tempat iaitu Carmelia Haven Plantation Resort & Spa di Thekkady dan menyusuri Tasik Venbanad dengan Rainbow Cruise.

Kedua-dua tempat itu terletak di Kerala, India selatan memiliki tarikan tersendiri. Selain menikmati keindahan alam semula jadi, hati terasa tenang apabila memasuki tree house di Carmelia Haven dan teruja kerana berpeluang bermalam di dalam boat house tatkala menyusuri Tasik Venbanad.

Bersama-sama 10 lagi rakan dari beberapa agensi pelancongan tempatan, kami memulakan perjalanan dari Madurai ke Kerala pada jam 8 pagi waktu tempatan. India lewat dua setengah jam dari Malaysia.

Terdahulu, kami sudahpun menjelajajah ke beberapa destinasi di Tamil Nadu, bermula dari Chennai, Mahabalipuram, Pondicherry, Thanjavur dan Trichy.

Perjalanan dari Madurai ke Carmelia Haven anggaran 150 km dan agak mencabar kerana laluannya mirip ke Cameron Highlands serta Fraser’s Hill. Keadaan berputar-putar itu menyebabkan ada yang mula pening dan menyediakan beg plastik kerana bimbang jika termuntah.

Sepanjang perjalanan ‘ditemani’ pepohon besar di kiri kanan. Sesekali selekoh tajam lagi sempit menggerunkan sehingga menyebabkan rakan sebilik, Masnira yang duduk paling depan menjerit kecil kerana terperanjat dan gusar akan keselamatan walaupun sedia maklum kecekapan pemandu, Twinkle Wilson.

Bau minyak angin aromaterapi dibawa mula menusuk ke hidung setelah diberikan kepada Haslina dan Faisal yang duduk sebaris dengan saya di bahagian belakang. Mereka alah pada perjalanan seumpama itu dan mengadu pening.

Dalam keadaan itu, saya tidak banyak bercakap dan hanya memejamkan mata tetapi tidak tidur. Lazimnya, saya juga tidak makan terlalu banyak sebelum menempuh perjalanan yang panjang, terutama makanan dan minuman berasas susu.

Suasana di dalam coaster bermuatan 15 tempat duduk agak sepi. Ada yang tidur dan ada juga yang menikmati keindahan alam semula jadi yang menghijau. Permukaan jalan yang kadangkala berlopak-lopak dan agak kasar menyebabkan adakala kami terhentak-hentak serta perlu membetulkan  kedudukan.

Semakin lama, kami kian berada di kawasan tanah tinggi dan semua mata tertumpu kepada tanaman teh yang bertingkat-tingkat membentuk teres kehijauan. Saujana mata memandang. Sungguh indah dan memukau pandangan.

Semua tampak ceria sejurus tiba di Carmelia Haven tepat jam 12 tengah hari. Sebaik tiba di resort yang menjanjikan pemandangan semula jadi, semua tidak melepaskan peluang bergambar di. Perut terasa lapar tetapi kami perlu menyelesaikan tugas terlebih dahulu, iaitu meninjau sekitar resort berkenaan sebelum menikmati makan tengah hari.

Kami dibawa meninjau resort eksotik yang mampu membangkitkan keseronokan. Empat kategori penginapan disediakan iaitu ‘Tree House’, Jacuzzi Villa, Deluxe Cottage, Deluxe Room dan Cave. 

Carmelia Haven dikelilingi pepohon hijau, terutama pokok pelage. Saya terpikat dengan tree house yang sungguh mendamaikan dan sesuai dikunjungi bersama-sama keluarga, pasangan yang mahu berbulan madu dan menyambut ulang tahun perkahwinan. Keadaan di Carmelia Haven agak dingin dan nyaman.

Di Carmelia Haven, pengunjung boleh menikmati rawatan ayurveda, aktiviti indoor dan outdoor, meninjau tanaman teh buah pelaga, lawatan ke kilang teh selain memancing, meredah hutan dan menaiki bot di Tasik Kailasam sepanjang 23 km.

Selesai makan tengah hari hidangan fusion, kami bersolat Zuhur dan Asar di resort berkenaan. Tepat jam 2.30 petang, kami memulakan perjalanan ke Thekkady. Sekali lagi menempuh perjalanan berliku menuruni kawasan tanah tinggi.

Haslina dan Faissal nampak lemah ketika itu. Mereka tidak banyak berkata-kata. Saya memberikan minyak gosok dan Haslina mula mencari plastik beg kecil kerana bimbang termuntah. Kami tiba di Thekkady pada jam 3.20 petang. Masih terasa dingin. Jika mahu membeli rempah ratus, Thekkady tempatnya. Namun, Pengurus I J Dream Vacation, Arun Kumar yang juga bertanggungjawab mengendalikan ‘ground’ di India memaklumkan, kami perlu daftar masuk ke The Elephant Court Resort terlebih dahulu.

Jam 3.40 petang kami tiba di resort bertaraf lima bintang dan diiktiraf sebagai The Best Nature Resort. 

Sementara menunggu mentari terbenam, saya dan rakan-rakan sempat meninjau persekitaran resort dan pada jam 7 malam kami membeli rempah ratus di Thekkady.

Teruja melihat rempah ratus. Rempah kari ayam, kari ikan, masala, tandori, rasam,rempah tumisan dan pelbagai jenis teh menyebabkan saya dan rakan-rakan rambang mata untuk memilih. Terasa semua hendak dibawa pulang. Sebelum kembali ke penginapan, singgah sebentar di kedai runcit berhampiran kerana ada antara rakan yang mahu membeli buah-buahan seperti anggur, pisang dan limau.

Esoknya, pada jam 8 pagi, kami menuju ke jeti Aleppy untuk menaiki boat house dan menyelusuri Tasik Vanbanad. Momen yang paling dinantikan oleh kami semua. Bermalam di dalam bot, melihat keindahan sekeliling dan menikmati hidangan di dalam pelayaran itu.

Jam 10 pagi, Rainbow Cruise mula bergerak meninggalkan jeti di Aleppy. Keadaan di dalam bot serba selesa. Sesuai untuk percutian sekeluarga dan pasangan yang baru diijabkabulkan. Bot yang saya naiki ada empat bilik, iaitu tida di bawah dan satu di atas.

Saya bersama Masnira manakala Haslina dengan Azlinda dan Che Wan bersama Faissal. Arun bersendirian di bilik hujung. Bot itu turut menempatkan ruang tamu, ruang makan dan ruang dapur. Kami menikmati hidangan tengah hari kira-kira dua jam selepas meninggalkan jeti.

Hidangan enak masakan India Selatan membuka selera sehingga ada yang makan sehingga tiga pinggan. Di dalam bot, tiada wifi dan ini menjadikan kami bosan. Justeru, ia perlu diisi dengan aktiviti sendiri. Ada yang bersembang, menyanyi dan bergurau senda.

Tidak lengkap perjalanan di Kerala tanpa berkunjung ke bandar Cochin seperti Dutch Palace, Jew Street dan pesisir pantai Fort Cochin. Di Dutch Palace anda boleh melihat sejarah pemerintah di Kerala, manakala Jew Street umpama Jonker Street di Melaka, menampilkan pelbagai hiasan, pakaian siap, sandal dan ole-ole. Usah lepaskan peluang melalui pengalaman sekumpulan nelayan menarik ikan jika singgah di pesisir pantai Fort Cochin. Saya dan beberapa rakan teruja setelah mencubanya.

Sebelum pulang, kami singgah di Chennai Silk tetapi kali ini di MG Road, Cochin. Sebelum itu, pernah juga kami ke Chennai Silk di Madurai. Bangunan setinggi lima tingkat itu turut menyediakan pelbagai tekstil, pakaian siap, aksesori, kelengkapan sekolah dan keperluan rumah.

Pasangan suami isteri, Alan dan Cora leka berbelanja dan apabila ditanya, jawab mereka, untuk kakitangan di tanah air. Begitu juga dengan Faissal yang membeli sari untuk isteri dan adik-beradiknya.

Seronok ke India? Jawapan saya sudah pasti kerana segala-galanya ada di situ. Paling penting barangaannya murah, makanannya sedap dan sesuai dengan selera serta layanan diterima menyebabkan terasa begitu dihormati dan disenangi.

Faktor itu juga menyebabkan bagasi saya terlebih muatan tetapi dapat diselesaikan oleh Pak Tam, Mak Tam dan Faye yang menumpangkan barangan saya di dalam bagasi mereka sebelum berangkat pulang ke tanah air.



Artikel Sebelum

Artikel Lain

Pelakon Lan Zailan meninggal dunia