BAGAN DATOH: Kementerian Dalam Negeri akan mengkaji secara terperinci cadangan Majlis Keselamatan Negara (MKN) supaya kerajaan mengenakan visa warga asing ke atas pelancong dari Asia Barat bagi mengekang ancaman militan Daesh. Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata perkara itu akan dibawa ke mesyuarat Kabinet esok untuk mendapatkan pandangan jemaah menteri terutama Menteri Pelancongan dan Kebudayaan Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz. "Ini kerana mereka (Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan) mempunyai matlamat untuk menarik pelancong asing dari negara Asia Barat, tetapi pada masa sama kita tidak boleh berkompromi soal kawalan keselamatan negara," katanya. Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri bercakap kepada pemberita selepas merasmikan Hari Guru Peringkat Daerah Hilir Perak 2016 di Sekolah Menengah Sains Bagan Datoh di sini, Selasa. Ahad lepas, Setiausaha MKN Datuk Seri Alias Ahmad mencadangkan agar kerajaan memperkenalkan visa warga asing untuk rakyat dari negara Asia Barat bagi mengekang ancaman kumpulan militan Daesh di Malaysia. Alias berkata setakat ini, Malaysia hanya mengenakan penggunaan visa kepada 34 daripada 201 negara terutama di benua Afrika. Menjelas lanjut, Ahmad Zahid berkata kaedah lain mungkin wajar difikirkan untuk mengekalkan atau menidakkan kemasukan pelancong dari Asia Barat tanpa menjejaskan elemen keselamatan. "Kami akan menggunakan semua talian komunikasi untuk memantau (ancaman militan Daesh) sebelum adanya keputusan mengenai keperluan meminta pelancong asing dari Asia Barat memohon visa untuk datang ke negara ini. "Kami mempunyai kerjasama yang erat dengan Polis Antarabangsa, Polis Asean serta mempunyai hubungan rapat dengan semua Jabatan Imigresen di seluruh dunia termasuk dari negara Asia Barat," katanya.