suria

Veterinar Giat Kenal Pasti Tahap Serangan Wabak IB

Gambar hiasan.

PUCHONG: Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS) sedang mengumpul maklumat terperinci bagi mengenal pasti tahap serangan wabak bronkitis berjangkit (IB) atau sakit kerongkong ayam yang berlaku sekarang.

Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar) Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani, Mohd Sallehhuddin Hassan berkata berdasarkan laporan awal yang diterima ada sesetengah penternak tidak menggunakan vaksin IB dan ada sebahagian yang lain mendakwa vaksin IB sedia ada tidak lagi berkesan.

"Pasukan petugas veterinar sudah turun ke ladang penternakan ayam yang berkaitan untuk pastikan apa isu sebenar...kita bimbang sekiranya ia telah dimanipulasi oleh pembekal untuk menaikkan harga.

"Kita tidak menafikan perkara itu (wabak) berlaku, ia adalah penyakit yang biasa ada, cuma ia berlaku harga ayam naik di waktu ini (Hari Raya)," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui pada majlis Sambutan Aidilfitiri Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia di sini Selasa.

Mohd Sallehhuddin berkata pada masa sama pihaknya tidak menolak kemungkinan perlu kepada vaksin yang baharu sekiranya dakwaan penggunaan vaksin IB sekarang tidak lagi berkesan adalah betul.

Pada Isnin, akhbar Persatuan Penternak Ayam Selangor mendakwa penyakit IB yang menyebabkan kerongkong ayam berkahak dan mengakibatkan ternakan sukar bernafas seterusnya mati, punca harga ayam naik.

Beliau berkata beribu-ribu ekor ayam mati akibat wabak itu sehingga menjejaskan 20 peratus pengeluaran ayam di seluruh negara.

Kebanyakan harga ayam naik sekitar RM2 hingga RM3 sekilogram berbanding harga kawalan RM7.90 sejak Khamis lalu.

Sementara itu, Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman berkata kementeriannya memberi jaminan bahawa tidak akan berlaku pengurangan bekalan ayam yang berpanjangan akibat wabak IB itu.

"Kita akan pastikan masalah ini hanya sementara, bila wabak itu sudah tiada, bekalan ayam akan kembali normal.

"Virus yang timbul ini akan kami pantau dan ia tidak akan memberi kesan serius kepada pembekal," katanya. - BERNAMA

veterinar, wabak IB

Artikel Lain